Last Updated: 29/05/2020 - 1:26 AM

[Review] Karya Eric Khoo, ‘Auteur’ Singapura – Dr Norman Yusoff

Saya pertama kali mengenali karya Eric Khoo – nama besar, penting lagi berpengaruh sinema Singapura – menerusi filem-filem cereka awalnya: MEE POK MAN (1995) dan 12 STOREYS (1997).

Filem-filem beliau menjadi pemacu kepada perkembangan sinema Singapura baharu (pasca era studio) di samping menempatkannya di persada dunia.

Ibu Khoo, seorang pencinta sinema tegar dan peminat filem seram, yang telah memperkenalkan beliau kepada wayang gambar ketika berusia dua tahun lagi (mereka akan mengunjungi pawagam dalam tiga atau empat kali seminggu).

Ketika berusia lapan tahun, beliau memanfaatkan kamera Super-8 ibunya dengan mula membikin filem-filem animasi pendek stop-motion. Minat dengan pembikinan filem telah membawa Khoo ke City Art Institute, Sydney, Australia, mengkhusus dalam jurusan sinematografi.

Sekembalinya dari Australia, beliau menghasilkan beberapa homemade video.

Antara babak dalam filem 12 Storeys.

Filem animasi pendek Khoo, BARBIE DIGS JOE (1990) telah mendapat anugerah di Singapore Video Competition dan menyertai pelbagai festival filem antarabangsa.

Filem pendek beliau seterusnya, August (1991), memenangi anugerah Filem Pendek Singapura Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Singapura. Khoo kemudiannya menghasilkan tiga lagi filem pendek: CARCASS (1992), SYMPHONY 92.4 (1993) dan PAIN (1994).

PAIN menjadi kontroversi kerana pemaparan grafik seorang pemuda sadomasokistik (yang obsesif dengan kesakitan) serta jenayah jijik lagi sadis, sehingga diharamkan tayangannya di Singapura. Melalui filem ini, beliau dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Singapura 1994.

Pada tahun 1995, Khoo mendapat peluang mengarahkan filem cereka sulungnya, MEE POK MAN yang dilihat pelbagai pihak sebagai filem terawal dan terpenting sinema Singapura baharu. Ianya melonjak naikkan nama Khoo kerana dijemput ke lebih 30 festival filem termasuk Venice dan Berlin, di samping memenangi anugerah di Fukuoka, Busan dan Singapura.

Filem ini memfokuskan kepada seorang penjaja mi (mee pok) di sebuah gerai mi di kawasan ‘gelap’ bandar Singapura, figura yang kesepian menghuni sebuah rumah pangsa kecil satu bilik.

Penjaja yang kurang stabil mentalnya ini secara rahsia mempunyai hubungan dengan seorang pelacur yang sering bertandang ke gerainya. Malah selepas kematian pelacur tadi penjaja ini masih menyimpan dan membina hubungan dengan mayat si mati.

Filem cereka keduanya, 12 STOREYS, merupakan filem Singapura pertama yang diundang ke Cannes. Disuntik humor gelap, ianya berkisar kepada pelbagai watak (kehidupan empat keluarga) yang menghuni rumah pangsa awam yang dibina kerajaan Singapura.

Kehidupan mereka adalah kisahan representasi sisi gelap lagi bobrok masyarakat Singapura pertengahan era 1990-an. Ah Gu, seorang lelaki yang beristerikan wanita cantik dari Tanah Besar China menerusi muslihat tertentu mendapati isterinya seorang ‘pisau cukur’.

San San, seorang wanita yang sering merasa ingin membunuh diri, dihantui tohmahan dan kecaman ibunya yang sudah meninggal – yang sering menghinanya.

Seorang gadis remaja dan adik lelakinya cuba memberontak terhadap abang mereka yang bersikap terlalu tegas, authoritarian (sewaktu mengambil alih tempat ibu-bapa mereka yang sering ke luar negara).

Roh seorang pemuda yang mati membunuh diri sering merayau-rayau di sekitar rumah pangsa tersebut.

Khoo merupakan pengasas dan penerbit bagi syarikat perfilemannya sendiri, Zhao Wei Films. Selepas filem keduanya, Khoo sibuk menghasilkan pelbagai produksi dari siri televisyen hinggalah ke filem iklan.

Antara lain, menjadi penerbit filem komedi, LIANG PO PO – THE MOVIE; STORIES ABOUT LOVE, sebuah filem digital omnibus dengan memperkenalkan tiga pengarah muda, Cheek, James Toh dan Abdul Nizam; dan, filem komedi bolasepak ONE LEG KICKING (2001).

Malah, karya beliau turut menginspirasikan pengarah Singapura lain, lantas menjadi produser filem mereka termasuk filem 15 (2003, Royston Tan) dan APPRENTICE (2016, Boo Junfeng) yang mendapat perhatian dunia. Beliau juga merupakan figura penting di sebalik penubuhan Singapore Film Commission.

Filem cereka ketiganya, BE WITH ME (2005), yang juga diundang ke Cannes bertemakan kesunyian dan kekosongan hidup. Naratifnya yang mengadunkan sebuah kisah benar dengan tiga kisah fiksyen, menghubungkan beberapa watak dari generasi, latar belakang dan sejarah peribadi yang berbeza.

Seorang lelaki warga emas tidak dapat melupakan kematian isterinya namun mendapat inspirasi dari buku yang dibacanya tulisan seorang guru warga emas yang buta dan pekak, Theresa Chan (watak dunia sebenar yang menginspirasikan Khoo menghasilkan filem ini); seorang pengawal keselamatan yang berlebihan berat badan mendambakan seorang wanita eksekutif di bangunan pejabatnya; dan, dua gadis remaja cuba menerokai identiti seksual mereka.

Pada tahun 2008, Khoo menghasilkan filem berbahasa Tamil, MY MAGIC yang dicalonkan untuk anugerah Palm d’Or di Cannes. MY MAGIC mengisahkan tentang hubungan seorang bapa tunggal dan anak lelakinya yang masih bersekolah.

Mereka menghadapi kesempitan hidup kerana si bapa adalah seorang pemabuk (yang meruntuhkan rumah tangganya sendiri).

Si bapa akhirnya menerima tawaran menjadi seorang ahli silap mata tetapi menerima tekanan bagi mempamerkan aksi-aksi yang sangat berbahaya. Watak si bapa dilakonkan oleh Francis Bosco, seorang ahli silap mata profesional sebenar.

Selepas itu, Khoo menghasilkan filem animasi TATSUMI (2011) yang didasarkan dari kisah sebenar Yoshihiro Tatsumi, seorang artis komik manga Jepun. Dua karya terkini beliau, WANTON MEE (2017) dan RAMEN TEH (2018) membawakan tema kulinari.

Wanton Mee adalah telefilem doku-fiksi yang menyandingkan kisah rekaan suara dan kehidupan seorang pengkritik makanan dengan temuramah para penjaja makanan di Singapura (Saya masih belum berkesempatan menonton Ramen Teh).

Yang menariknya, kebanyakan filem cereka Khoo secara dasarnya adalah himpunan atau cantuman filem-filem (kisahan-kisahan) pendek. Karyanya memotretkan keterpinggiran manusia-manusia ‘kecil’ bandaran yang dilanda tekanan, kekosongan atau kesengsaraan hidup, di samping melayarkan sisi dan milieu kelam lagi getir Singapura.

Saya turut tertarik dengan watak-wataknya yang sering dihantui masa lampau atau sejarah peribadi (menerusi watak yang sudah mati), justeru menjadikan detik atau jalur masa tertentu bersimpang antara realiti dengan magis, antara alam nyata dengan alam bawah sedar.

Hal ini sedikit menyahstabilkan idea-idea berkaitan lineariti dan kronologi yang sinonim dengan etos pembangunan, kemajuan dan kemodenan yang boleh dibaca dalam konteks Singapura.

Bagi pencinta filem, Wayang@Budiman membuka slot Potret Kota Singa dengan filem 12 STOREYS (1997) oleh Eric Khoo. Empat jalur naratif penghuni rumah pangsa yang berhadapan keterasingan dan penyisihan bandaran di kota moden Singapura.

Tayangan percuma kepada orang ramai jam 8.15 malam ini.

  • Artikel ini ditulis Dr Norman Yusoff merupakan Ketua Pusat Pengajian Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  • Kafebuzz.my

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino