Tiga Kes Positif Baharu Novel Coronavirus Dikesan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan pertambahan tiga kes positif baharu 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada malam 28 Januari lalu.

“Justeru, jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan pada tahun 2020 sehingga hari ini adalah sebanyak tujuh (7) kes; iaitu terdiri daripada tiga (3) kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan empat (4) kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat. 

“Kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.


Jelasnya, dua kes baharu jangkitan 2019-nCoV adalah dalam kalangan kes PUI iaitu seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan seorang lelaki berusia 52 tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Seterusnya dalam kalangan kontak rapat, adalah dimaklumkan bahawa menantu perempuan kepada kes 2019-nCoV pertama di Singapura (iaitu lelaki yang berumur 66 tahun) kini juga telah disahkan positif. 

“Beliau yang terdahulunya berstatus negatif telah mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka dikesan positif,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, dari 10 Januari sehingga 28 Januari lalu, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah 78 orang; di mana 39 adalah warganegara Malaysia, 36 warga China dan masing-masing satu (1) warganegara Jordan, Brazil dan Thailand. 

Tiga kes disahkan positif 2019-nCoV, 74 adalah negatif 2019-nCoV dan satu kes masih menunggu keputusan makmal.

  • Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*