Last Updated: 16/01/2020 - 4:20 PM

McDonald’s Sumbang Lebih RM600,000 Untuk Rakyat Sabah

McDonald’s Malaysia mengukuhkan pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya melalui penganjuran Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Sabah, semalam.

Sumbangan sebanyak RM622,800 diberikan bertujuan meringankan beban golongan masyarakat yang memerlukan di negeri ini melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

Azmir menyatakan McDonald’s amat berharap dapat memainkan peranan ke arah kesejahteraan masyarakat terutama golongan di sekitar lokasi operasi. (Foto: McDonald’s)

Penyampaian sumbangan bagi Program Komuniti ini diadakan di restoran terbaharu McDonald’s di Sabah iaitu McDonald’s Pandu-Lalu Semporna.

Antara inisiatif kemasyarakatan yang diumumkan termasuk pembayaran zakat perniagaan McDonald’s, pelantikan belia-belia dari keluarga kurang berkemampuan menyertai SLDN McDonald’s dan penyerahan pek ‘Kembali ke Sekolah’ kepada kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah.

McDonald’s menyampaikan pek ‘Kembali ke Sekolah’ kepada lebih 1,900 kanak-kanak dari 63 sekolah di seluruh Sabah. (Foto: McDonald’s)

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia,
Azmir Jaafar dalam satu kenyataan media berkata mewujudkan impak positif kepada masyarakat merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia.

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang mempunyai reputasi kukuh di negara ini, kami amat berharap dapat memainkan peranan ke arah kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi melibatkan golongan masyarakat memerlukan di sekitar lokasi operasi kami.

“Semoga pembukaan restoran terbaharu kami di Sabah ini membuka peluang pekerjaan dan ruang kearah pembangunan bakat, khususnya mereka yang tinggal di Semporna.

“Di samping merancakkan lagi ekonomi negeri, besar harapan kami agar pengembangan perniagaan di Sabah meringankan beban lebih ramai golongan masyarakat kurang bernasib baik di negeri ini,” tambah Azmir lagi yang juga merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.

McDonald’s menyumbang sebanyak RM622,800 untuk meringankan beban golongan masyarakat yang memerlukan di Sabah. (Foto: McDonald’s)

RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal turut hadir pada majlis ini menyatakan sumbangan McDonald’s Malaysia menerusi Program Komuniti mereka adalah sesuatu yang wajar dipuji.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan pengembangan perniagaan McDonald’s di Sabah dan usaha mereka ke arah kesejahteraan rakyat merupakan nilai tambah yang cukup bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri.

“Semoga lebih banyak program-program untuk masyarakat melibatkan syarikat-syarikat korporat seperti McDonald’s dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Shafie Apdal menyatakan sumbangan McDonald’s Malaysia menerusi Program Komuniti adalah sesuatu yang wajar dipuji. (Foto: McDonald’s)

Agihan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia

McDonald’s Malaysia memenuhi kewajipan zakatnya kepada negeri Sabah untuk tahun 2019 dengan bayaran zakat berjumlah RM101,000.

McDonald’s Malaysia baru-baru ini turut menerima Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima sijil pengiktirafan tersebut di Malaysia.

“Sebagai sebuah entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ianya merupakan tuntutan agama untuk kami mengeluarkan zakat apabila cukup haul untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

“Kami membayar zakat sejak tahun 2017 setelah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd. iaitu sebuah anak syarikat Reza Group dari Arab Saudi,” ujar Azmir.

McDonald’s Malaysia memenuhi kewajipan zakatnya kepada Sabah untuk tahun 2019 dengan bayaran zakat berjumlah RM101,000. (Foto: McDonald’s)

Inisiatif pekerjaan untuk belia melalui SLDN McDonald’s

Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s merupakan program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah.

Program ditaja sepenuhnya ini diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia – salah satu usaha restoran khidmat segera itu untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat dan memupuk bakat baharu sejajar dengan agenda negara.

Usaha McDonald’s ke arah kesejahteraan rakyat merupakan nilai tambah yang cukup bertepatan dengan aspirasi kerajaan Sabah. (Foto: McDonald’s)

“Kami teruja mengalukan belia dari Sabah menyertai program latihan ini. Diharap melalui program ini, belia terpilih akan mempelajari kemahiran diperlukan untuk memajukan diri dan memulakan karier yang menjamin masa depan seterusnya meningkatkan status ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.

Program ini adalah sebahagian daripada Program Komuniti McDonald’s dianjurkan untuk belia daripada golongan kurang berkemampuan.

Sebaik sahaja pelatih lulus penilaian dan ujian akhir program ini, mereka layak bekerja di restoran McDonald’s. Setakat ini, terdapat 650 pelatih sedang menjalani SLDN McDonald’s.

Setiap pelatih menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans serta makanan percuma.

Mohd Shafie Apdal (empat dari kiri) hadir pada majlis penyampaian sumbangan bagi Program Komuniti di restoran terbaharu McDonald’s di Sabah, iaitu McDonald’s Pandu-Lalu Semporna, hari ini. (Foto: McDonald’s)

Program ‘Kembali ke Sekolah’

Lebih 1,900 kanak-kanak dari 63 sekolah di seluruh negeri Sabah menerima pek ‘Kembali ke Sekolah’, pada tahun ini.

Program ini adalah inisiatif tahunan diterajui McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ia dilancarkan di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober lalu merupakan terbesar setakat ini dengan jumlah sumbangan mencecah RM3 juta bagi membolehkan seramai 30,000 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar di seluruh negara menerima pek ‘Kembali ke Sekolah’ menjelang tahun persekolahan 2020.

Mohd Shafie Apdal menandatangani plak program komuniti di restoran terbaharu McDonald’s di Sabah iaitu McDonald’s Pandu-Lalu Semporna, semalam. (Foto: McDonald’s)

Ia bakal disampaikan secara berperingkat di negeri-negeri seluruh Malaysia sehingga penghujung tahun ini.

Pek ‘Kembali ke Sekolah’ yang diagihkan mengandungi satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, sepasang stoking dan beg sekolah bernilai RM100.

Pada tahun 2018, McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia menyampaikan pek ‘Kembali ke Sekolah’ bernilai RM1.7 juta kepada 17,000 kanak-kanak sekolah rendah.

Pada tahun sebelum itu menyaksikan McDonald’s dan RMHC membantu 6,000 pelajar menerusi jumlah sumbangan sebanyak RM1.2 juta.

RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia yang bermatlamat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia.

Hubungi ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 atau layari https://rmhc-malaysia.my/get-involved/make-a-donation/ jika anda berminat menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.

  • Kafebuzz.my

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino