Jodoh Ahmad Idham Bersama FINAS Hanya Setahun

Kedudukan CEO FINAS sudah terjawab.

Hampir seminggu isu kedudukan Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi bualan hangat dalam kalangan penggiat seni.

Hero sitkom popular Spanar Jaya itu kali terakhir muncul secara rasmi ketika Perhimpunan Bulanan FINAS yang diadakan pada 3 Disember lalu.

Ahmad Idham (depan dua dari kiri) hadir pada Perhimpunan Bulanan FINAS yang diadakan pada 3 Disember lalu. (Foto: FINAS Malaysia)

Selepas itu, beliau dilaporkan bercuti selama tiga bulan dan tugasnya diambil alih Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal), Subaidah Md Top bermula 4 Disember lalu.

Pelbagai spekulasi dilontarkan penggiat seni selepas Ahmad Idham ‘direhatkan’ dalam menjalankan tugasnya di FINAS.

Bagaimanapun, FINAS tampil dengan satu kenyataan media hari ini menyatakan tempoh perkhidmatan Ahmad Idham akan berakhir pada 10 Mac 2020.

Ahmad Idham dilantik sebagai CEO FINAS berkuatkuasa pada 11 Mac lalu.
(Foto: FINAS Malaysia)

Kenyataan media itu menyatakan Ahli Lembaga Pengarah FINAS telah menerima dan meluluskan permohonan daripada Ahmad Idham yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya kepada 10 Mac 2020 di atas sebab-sebab peribadi.

“Justeru, FINAS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Ahmad Idham di atas segala sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau di masa hadapan,” katanya yang dikeluarkan Unit Komunikasi FINAS.

Tempoh perkhidmatan Ahmad Idham bersama FINAS akan berakhir pada 10 Mac 2020.
(Foto: FINAS Malaysia)

Ini bermakna, kedudukan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS akan tamat pada 10 Mac 2020 nanti.

Jawatan CEO FINAS yang disandang Ahmad Idham merupakan jawatan Ketua Pengarah yang diguna pakai badan perfileman kerajaan itu sebelum ini.

Kenyataan media yang memaklumkan kedudukan Ahmad Idham secara rasmi.

Ahmad Idham yang juga seorang produser dan pengarah filem dilantik sebagai CEO pada 11 Mac lalu. Beliau sepatutnya menggalas kontrak perkhidmatan selama 2 tahun.

Bagaimanapun, Ahmad Idham hanya sempat menerajui FINAS selama setahun.

Difahamkan, satu sidang media berhubung isu FINAS akan diadakan oleh gabungan beberapa presiden persatuan hiburan esok.

  • Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*