3,000 Buku Percuma, Plastik Sampah Jadi Baju
2 min read
Senaskhah buku diberikan percuma pada orang ramai mungkin dianggap biasa.
Namun, bagi golongan istimewa seperti anak-anak yatim menganggap ia cukup istimewa sebagai suatu kenangan dalam hidup mereka.
Bayangkan kehidupan mereka kurang kasih sayang ditemani buku-buku percuma tersebut apatah lagi berpeluang menimba ilmu.
Impian ini terlaksana selepas mereka menerima sumbangan buku yang berjaya dikumpul pelajar semester 3, Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian), Pengurusan Seni dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam Selangor.

Acara tersebut merupakan sebahagian keperluan akademik pelajar di bawah subjek ‘Creative Industry Public Relation’.
Sebanyak 3,000 naskah buku bacaan diedarkan secara percuma kepada pengunjung-pengunjung Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Puncak Perdana bertujuan menggalakkan sikap suka membaca.

Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Puncak Perdana, Shah Alam Selangor baru-baru ini. (Foto: FiTA UiTM)
Pelajar-pelajar ini berjaya mengumpul dan mendapatkan tajaan daripada kedai buku seperti Karangkraf, Fixi, Perpustakaan Negara Malaysia, kedai buku Banggol dan sumbangan individu.
Menariknya, program ini turut dimeriahkan kehadiran 22 anak-anak yatim dari Rumah Amal Budi Bestari yang hadir bukan sahaja mendapat buku percuma tetapi menerima sumbangan daripada pihak penaja dan orang awam dalam bentuk barangan dan wang yang dikumpul.

Program tersebut juga merupakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang bertemakan ‘Dear, Drop Everything and Read’.
Program ini juga berkolaborasi dengan program yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar pengurusan seni semester 2 iaitu Program R.E.A.D: ‘Coffee Book Life’ yang menyediakan bengkel ilmiah seperti Atlas, Mendeley, EZaccess & PDAT, Excel dan juga tayangan filem.

Menambah tarikan, pertunjukkan fesyen hasil karya pelajar-pelajar semester 1 dan semester 6 juga diadakan sepanjang dua hari berlangsungnya program ini.
Uniknya, pertunjukkan ini masing-masing berkonsepkan ‘Art to Wear’ yang bertemakan ‘Kurung Rage’ iaitu pakaian yang diragakan bercorak lukisan pelukis-pelukis negara.

Bagi pertunjukkan fesyen kedua berkonsepkan ‘Art Dress Me’ bertemakan ‘Dress Like You’re Already Famous’ iaitu pakaian diperbuat daripada barangan terpakai seperti kotak, botol, plastik sampah, surat khabar dan ranting kayu diolah menjadi satu pakaian yang unik dan ranggi.
Pelbagai aktiviti menarik lain diadakan sepanjang dua hari program ini berlangsung seperti congkak, catur, batu Seremban, UNO, mini golf, dam haji dan lain-lain dimana perserta yang menang mendapat hadiah buku istimewa.

Penganjur mengharapakan program ini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang sebagai usaha merapatkan hubungan antara pihak UiTM dan orang ramai.
- Kafebuzz.my