AJK Kena Guling, Solidariti FDAM Berkuasa!

Tarikh 17 November 2019 menjadi sejarah buat FDAM.
Apa yang berlaku, Ahli Jawatankuasa (AJK) yang diterajui Othman Hafsham sebagai Presiden (mantan) mendapat sokongan majoriti ahli yang hadir agar barisan kepimpinan itu letak jawatan.

Tindakan itu dilakukan selepas kesemua ahli yang berada di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, Selangor mendengar usul yang dibacakan Asri Alias dan Zaki Abdul Rahim terhadap kelemahan AJK persatuan itu.
Antara usul yang dibincangkan ialah kedudukan Asri bersama Ahmad Hashim yang juga AJK Biro Penerangan yang sebelum ini digantung keahlian.

Pada majlis yang berlangsung agak tegang itu, pengerusi AGM ke-22 iaitu Datuk Abdul Rahim Awang memutuskan Asri dan Ahmad Hashim yang berjuang atas nama Solidariti FDAM kekal status sebagai ahli.
Keputusan AGM itu juga menyaksikan Murali Abdullah diterima semula sebagai ahli. Seramai 73 ahli hadir pada AGM kali ini.

Othman yang berucap pada awal majlis bermula mengucapkan selamat datang kepada kumpulan Solidariti FDAM yang sebelum ini bertindak membongkar isu dalaman persatuan hiburan itu.
Pendedahan usul tersebut bukan saja mempersoal kredibiliti AJK FDAM sedia ada tetapi mendesak agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan. (Baca lagi: Kebangkitan Solidariti FDAM)

Kehadiran sebilangan besar ahli daripada kumpulan Solidariti FDAM yang memakai baju T hitam tertera nama ‘Solidariti FDAM’ sebelum majlis bermula seolah memberi petanda awal peralihan kuasa bakal berlaku.
Dalam ucapan sama, Othman juga sempat memberi pesanan pada hadirian agar ‘membuang yang keruh, ambil yang jernih’.
Zaki ketika berhujah dengan usul menyifatkan apa yang berlaku termasuk kemelut isu dalaman FDAM adalah menjadi tanggungjawab pada presiden.

Sejurus AJK FDAM dibubarkan, seramai 7 individu dipilih dan dilantik sebagai AJK sementara sebelum pemilihan AJK secara rasmi dijalankan pada EGM dalam tempoh 60 hari.
Mereka adalah Ahmad Ibrahim atau Mad London sebagai ketua dibantu Zaini Hassan, Zaki Abdul Rahim, Datuk Rahman, Roslainor, Datuk Zulkifli M Osman dan Loganathan Kanapathy.
AJK ‘pro tem’ ini juga melantik khas dua lagi AJK iaitu Ahmad Hashim dan Khalil Saleh.

Bagi Zaini, AJK sementara ini turut mengalukan sebarang pandangan ahli agar memberi panduan dalam memperbetulkan apa jua perkara sebelum EGM berlangsung.
“Bebas memberi komen tanpa ada ancaman laporan polis,” katanya berdasarkan pengalaman lalu.

Kejayaan ahli sendiri mengulingkan AJK sedia ada sudah tentu memberi kepuasan dan kemenangan paling bermakna buat ahli dalam memastikan persatuan membela nasib mereka.
“Rasa macam tawan PMO Putrajaya la pulak,” kata salah seorang ahli.

Seorang lagi ahli, Azizan Rubaan menyifatkan apa yang berlaku pada AGM kali ini memberi semangat baru pada semua ahli dan persatuan.
“Aku anggap hari ini FDAM dilahirkan semula. Hari ini dalam sejarah. Kemenangan mutlak. Lawan terus kena pukulan KO,” katanya.


- Kafebuzz.my
Leave a comment