Nadzmi Adhwa Diganggu, Chacha Maembong Akui ‘Berat’
2 min read
Pengalaman di lokasi seringkali sukar dijangka.
Ada ketika ia berlalu dengan sempurna tetapi ada pula yang berdepan cabaran apabila diganggu makhluk halus.

Pengalaman itu dilalui pelakon muda berbakat, Nadzmi Adhwa ketika membintangi filem terbaharu, Anak Perjanjian Syaitan.
Jelasnya, dia bersetuju membintangi filem tersebut kerana tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan.
“Sebelum ini saya tidak pernah berlakon lagi dalam filem bergenre seram dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup menarik untuk terbabit dalam pembikinan Anak Perjanjian Syaitan.
“Dalam filem ini, karakter saya agak kelihatan lebih matang kerana membawakan watak sebagai seorang guru dan bakal bapa yang teruja menantikan kehadiran cahaya mata sulung,” katanya.

Tambahnya, peluang untuk membintangi filem berkenaan tidak harus dilepaskan sama sekali memandangkan ditawarkan memegang watak utama.
Jelasnya, Anak Perjanjian Syaitan merupakan filem seram pertama yang dibintanginya.

Malah, ia menjadikan impiannya untuk memegang peranan utama dalam filem terlaksana.
“Kalau ditanya pengalaman sepanjang penggambaran, antara yang paling memberi cabaran apabila mengalami gangguan di lokasi.
“Namun begitu, semuanya berjalan dengan lancar dan saya rasa pengalaman sebegini turut pernah dilalui oleh pelakon-pelakon yang pernah berlakon dalam filem seram,” ujarnya.

Bagi pelakon Chacha Maembong pula menyatakan watak yang dipegangnya dalam filem ini memberikan kelainan buat dirinya.
Berkenaan dengan karakternya, pelakon itu menyatakan dia memainkan peranan sebagai seorang isteri yang sangat sayang dan sanggup berkorban apa sahaja untuk suaminya.

“Apabila ditawarkan berlakon dalam filem, saya tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan persetujuan lantaran filem Anak Perjanjian Syaitan ini kerana ia suatu naskhah yang menarik.
“Kalau bercerita dari sudut cabaran pula, pada saya untuk mendalami watak Azlinda ini bukanlah suatu yang mudah kerana ada babak-babak yang agak berat.
“Namun, saya beruntung kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan pelakon dan produksi untuk menjayakannya,” ujarnya.

Jelasnya, dia berharap mesej yang disampaikan dalam filem ini dapat diterima dengan baik oleh penonton, biarpun ia sebuah naskhah seram.
Jangan lupa menonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober ini.

- Kafebuzz.my