Review: Janji Zehan Penanda Aras Kualiti Filem TV
2 min read
Penonton mudah dibuai keindahan permandangan di luar negara.
Ini menjadi strategi penting yang mampu tarik perhatian penonton menyaksikan filem atau drama yang menggunakan destinasi menarik di luar negara sebagai lokasi penggambaran.

Satu lagi karya tempatan berkonsep filem TV berjudul Janji Zehan ditayangkan di Astro Citra baru-baru ini menggunakan lokasi sekitar Iran menjadikan ia sebuah naskhah yang boleh dibanggakan penonton dan pembikin filem khususnya.
Cerita ini sebenarnya sudah ditayangkan menerusi Astro First Eksklusif pada Februari tahun lalu tetapi disiarkan semula.

Plotnya mudah difahami dan dijangka iaitu mengenai hubungan suami isteri dari dua negara yang cuba memahami cara hidup satu sama lain.
Lakonan pelakon utamanya, Nur Fazura memang cukup cemerlang membawakan watak Zehan. Dia cukup menjiwai emosi watak ini yang merindui ibunya di tanah air yang sakit.

Dibandingkan penghayatan lakonannya dengan gandingan ‘suami’ dalam cerita ini iaitu Amir Rezazadeh, Fazura jauh lebih bagus dalam berkongsi emosi pada penonton.
Berbalik pada permandangan luar negara yang menjadi ‘umpan’ filem ini, ia suatu yang berbaloi untuk ditonton.

Bukan saja syot cantik pada bangunan bersejarah di Iran tapi syot Fazura juga lebih menyerlah sehingga penonton juga teruja melihat syot makanan di negara tersebut.
Di sebalik faktor syot memukau di luar negara, apa lagi pengajaran yang dapat dikongsi pembikin filem dan produser tempatan daripada projek filem TV ini?

Sebelum ini sudah banyak filem atau drama tempatan kita yang guna permandangan indah di luar negara sebagai lokasi penggambaran tapi hasilnya tidak seperti diharapkan penonton.
Ia suatu yang subjektif untuk menyalahkan faktor bajet atau pengarah sendiri yang kurang faham dalam berkarya.
Apapun sebab bermain dalam kepala produser dan pengarah, cerita Janji Zehan ini boleh dijadikan contoh atau penanda aras bahawa filem tempatan mampu mempunyai kualiti visual yang bagus seperti ini.

Perlu ingat, kepuasan penonon tidak hanya bersandarkan faktor pelakon popular dan lokasi menarik di luar negara semata-mata.
Tanpa kajian dan fokus teliti pada aspek teknikal seperti penggambaran, syot, suntingan dan muzik skor, karya itu tidaklah sehebat mana dan mungkin masuk dalam kategori cerita sampah.

- Kafebuzz.my