Apa Ahli FDAM Buat Pada Malam 1 Julai 2019?

Ada ahli yang tahu, ada pula yang tidak tahu.

Sekumpulan ahli Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) berkumpul pada satu majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di Dataran PROFIMA, Taman Permata, Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.

Acara tersebut bukan dianjurkan FDAM tetapi ia adalah inisiatif sekumpulan ahli FDAM yang mempunyai matlamat mahu menyelamatkan FDAM.

Kafebuzz sebelum ini melaporkan isu dalaman persatuan hiburan itu yang mengejutkan ahli apabila logo persatuan tidak pernah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) termasuk gagal menghantar penyata kewangan selama 7 tahun berturutan. (Baca lagi: [Eksklusif] Logo FDAM Tidak Didaftar ROS, Pandangan Ahli Hanyalah Langau!)

Antara ahli FDAM yang hadir memberikan sokongan pada majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di Kuala Lumpur, kelmarin. (Foto: Ahmad Hashim – Facebook)

Bekas Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk menyatukan ummah dan ukhwah.

“Tujuan kedua, memohon agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan yang dicetuskan beberapa orang dalam AJK.

Saya cabar mereka tidak harus bercakap dalam ‘group’ WhatsApp jika tiada jawapan. Kita panggil semua kawan duduk semeja menceritakan apa yang mereka nak, apakah jawapan yang terbuku pada jiwa mereka.

“Majlis ini adalah menyampaikan apakah yang harus mereka utarakan dan merencanakan sesuatu ke arah lebih baik.

Kemelut bermula dalam ‘group’ FDAM apabila AJK banyak tidak menjawab. Tiba-tiba AJK menjemput 5 hingga 6 orang datang ke pejabat untuk bersemuka dengan mereka.

“Saya rasa itu bukanlah jalan yang sangat berfaedah pada ahli sebab isu ini adalah isu ahli bukan peribadi.

“Jadi, saya rasa kalau isu peribadi memang boleh dipanggil kenapa kamu buat macam ini tapi ini isu FDAM, ahli nak tahu apakah jawapan terhadap pertanyaan ‘group’ tersebut,” katanya penuh bersemangat.

Pengarah filem terkenal, U-Wei Saari (dua dari kanan), Z Lokman (tengah) dan pelakon popular, AR Badul (dua dari kiri) antara ahli FDAM yang hadir berkongsi pandangan pada majlis tersebut. (Foto: Ahmad Hashim – Facebook)

Ujarnya, beliau sendiri pernah berjumpa dengan salah seorang AJK FDAM yang memberitahunya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan diadakan pada 29 Jun lalu.

“Setelah itu, saya berjumpa sekali lagi dan dia mengatakan tak dapat diadakan sebab akaun persatuan tak siap dan terus berdiam sehingga hari ini.

Saya cabar mereka kalau lambat buat AGM, kita buat EGM. Nak buat EGM kena kumpul 75 hingga 80 orang, jadi kita buat perhimpunan,” katanya.

Mat London (kiri) mencabar AJK FDAM untuk mengadakan AGM tetapi ianya tidak berlaku. . (Foto: Ahmad Hashim – Facebook)

Sebagai ‘ótai’ dan juga sifu pada ramai pengarah tempatan yang pernah menjadi anak didiknya, beliau memberi cadangan pada AJK FDAM membuat jamuan Aidilfitri untuk memanggil ahli-ahli.

“Kita bersalaman dan apa yang terbuku atau tersirat kita keluarkan tapi majlis seperti ini tidak diadakan. Saya dengar ada yang mengatakan ia suatu pembaziran sedangkan perjumpaan sebegini juga adalah aktiviti untuk ahli dan suatu ibadah mengeratkan silaturrahim,” katanya.

Mat London juga menyataan rasa terkejut dengan kehadiran ahli-ahli FDAM yang hadir pada majlis malam itu meskipun jemputan disampaikan hanya beberapa hari sebelum itu.

“Amat terperanjat sekali apabila hari ini kita tengok, tiada benda yang mustahil. Saya ucap terima kasih pada pejuang-pejuang kita terutama diketuai Asri Alias yang bertungkus lumus,” katanya.

Pada majlis itu, bekas Setiausaha Kehormat FDAM iaitu Datuk Abdul Rahim Awang turut memaklumkan pada semua hadirin bahawa presiden persatuan itu, Othman Hafsham sudah menghantar surat perletakkan jawatan pada petang itu.

Meskipun ia berita yang mengejutkan pada ahli-ahli FDAM tetapi Asri menyatakan usaha mengadakan EGM akan tetap diteruskan bersama ahli-ahli yang menyokong.

  • Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*