Filem Tiada Tajuk Kini Boleh Ditonton Di TV Sempena Aidilfitri
3 min read
Baru ditayangkan di pawagam tapi kini boleh ditonton di TV.
Memang betul. Filem pertama arahan Mawi kini boleh ditonton di TV sempena Aidilfitri kali ini.
Pastinya, penonton khususnya peminat Mawi yang mungkin terlepas menonton filem genre komedi Islamik ini di pawagam sebelum ini berkesempatan untuk menonton di TV.

Sambil menikmati lemang bersama serunding daging mahupun asyik menjamah jem tart, penonton boleh menonton filem Tiada Tajuk dengan cara melanggannya di saluran Astro First.
Filem yang dibintangi Hazama, Along Cham dan Joey Daud selaku pelakon utama pernah mencipta fenomena tersendiri ketika mula ditayangkan pada 4 April lalu.

Menariknya, ketika judul filem ini diumumkan secara rasmi di hadapan pintu masuk Sogo, Kuala Lumpur, Mawi turut mengumumkan pelbagai hadiah lumayan menanti penonton dalam peraduan yang dianjurkan.
Tiada Tajuk Sudah Ada Tajuk!

Dalam peraduan tersebut, penonton berpeluang memberikan judul yang sesuai untuk filem itu.
Mungkin ada yang beranggapan hadiah utama berupa kereta Perodua Bezza, motosikal Yamaha Y15 dan pakej umrah hanya strategi Mawi untuk pancing penonton ke pawagam.
Sebelum menyambut Aidilfitri lalu, Mawi akhirnya mengotakan janji apabila menyampaikan hadiah tersebut pada pemenang dalam satu majlis berbuka puasa yang dianjurkan Al Najwa Productions bersama Mawi World Entertainment di Kuala Lumpur.

Tajuk yang dipilih sebagai juara ialah Ikhlas: 112 dimenangi oleh Akmal Taqi manakala pemenang kedua, Abdul Rahman Asim memberikan tajuk Kitab Hati dan Abdul Rahimi Ahmad Shamsuil di tempat ketiga dengan judul Hikayat Superstar.
Mawi memilih judul Ikhlas: 112 sebagai pemenang selepas bersetuju dengan perbincangan bersama tiga juri profesional terdiri Pensyarah Sambilan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Elrafaei Sapi; Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor serta salah seorang pelakon filem Tiada Tajuk, Johan As’ari.

Sebelum diumumkan pemenang, ketiga individu tersebut dijemput naik ke pentas dan diajukan satu soalan daripada setiap juri. Keputusan pemenang pula dibuat berdasarkan jawapan yang diberikan ketiga individu itu.
Akmal memberikan judul Ikhlas: 112 kerana ia merujuk pada surah al-Ikhlas dan menariknya, kemenangan Akmal pada malam itu juga diraikan bersama ibunya yang hadir sama.

Kini, filem Tiada Tajuk sudah ada tajuk iaitu Ikhlas: 112.
Bagi mereka yang belum pernah menonton filem ini, jangan lepaskan peluang menyaksikannya di Astro First.



- Kafebuzz.my