Pelawak Veteran Tiada Kerja, Pelawak Muda Dibayar Ratusan Ribu

Aidilfitri makin hampir dirasai tapi bagaimana pula persiapan artis veteran.

Terbaru, kisah pelawak terkenal, Abon meluahkan rasa kecewa terhadap stesen TV dan produser yang dikatakan tidak berlaku adil dalam menawarkan peluang kerja pada artis khususnya artis veteran sepertinya.

Bayangkan, pelawak terkenal seperti Abon yang pernah menjadi juara Maharaja Lawak Mega 2011 terbitan sebuah stesen TV yang gah pun tak dapat ‘job’ apatah lagi nasib pelakon veteran lain.

Apa yang lebih ‘punchline’ kata-kata Abon dalam laporan Harian Metro itu adalah “tekan saluran TV mana-mana pun muka artis yang sama”.

Di mana silapnya? Siapakah yang harus dipersalahkan dalam perkara ini?

Realitinya, apa yang diperkatakan Abon ada benarnya. Bukan suatu yang pelik pada program TV sekarang apabila menggunakan artis yang sama untuk program terbitan mereka.

Jangan terkejut, ada pelawak level junior yang diangkat sebagai penyampai radio dibayar gaji berjumlah ratusan ribu sebulan kerana faktor popular sehingga muncul dengan program TV sendiri.

Bagi artis sendiri, ‘permainan’ stesen TV ini bukan lagi perkara baru yang berlaku.

Malah, produser juga terpaksa akur terhadap kehendak stesen TV jika mahu ‘job’ diberikan pada mereka jika tidak mereka pula tiada kerja.

Jadi, dalam mencari jalan penyelesaian terbaik pada isu ini sepatutnya persatuan hiburan atau agensi berkuasa seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perlu bertindak progresif!

Bagi peluang kerja pada artis veteran ini bukan atas faktor kasihan tapi atas rasa tanggungjawab pihak yang mempunyai kuasa seperti stesen TV dan produser untuk membantu golongan ini.

Jangan sampai artis veteran itu sudah tiada di muka bumi, baru stesen TV atau pihak tertentu terhegeh-hegeh tampil menghulurkan sumbangan dan kemudian memuat naik gambar serta berita tersebut di media sosial untuk ‘cover line’.

Sudah banyak sebenarnya kisah artis veteran yang merempat, tidak mampu bayar sewa rumah sebab tiada pendapatan mahupun hanya menagih simpati duit raya daripada persatuan hiburan.

Masih belum terlambat untuk bantu mereka. Sebagai cadangan, FINAS boleh memainkan peranan dalam campur tangan ‘kuasa’ stesen TV agar sesuatu usaha dapat dilakukan demi untuk artis veteran.

Mereka sendiri pun tidak mahu disanjung tapi cukup dihargai jasa mereka yang pernah berjuang sebagai anak seni.

Moga lebaran kali ini ada sinar gembira buat mereka.

  • Kafebuzz
  • Foto: abon_artis265 (Instagram)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*