Last Updated: 27/05/2020 - 1:51 AM

[Eksklusif] Logo FDAM Tidak Didaftar ROS, Pandangan Ahli Hanyalah Langau!

Sejak ditubuhkan pada 11 Mac 1991, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) rupanya tidak pernah mendaftarkan logo persatuan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Sumber mendakwa sehingga kini FDAM tidak mempunyai logo rasmi yang berdaftar walaupun sepanjang operasinya, FDAM telah mengguna pakai 5 logo berbeza.

“Masa pertama kali hantar perlembagaan, pihak urus tadbir FDAM terlepas pandang untuk mendaftar logo melainkan hanya menyerahkan salinan kandungan asal perlembagaan untuk dipatuhi ahli.

“Sedangkan logo adalah perlambangan yang menampilkan jenama serta mesej perjuangan persatuan. Kecuaian AJK yang lepas mahupun sekarang memang tidak boleh dimaafkan,” katanya secara eksklusif kepada Kafebuzz.

Tambahnya, kekeliruan semakin bertambah apabila penggunaan nama persatuan bersilih ganti sebelum ini iaitu Persatuan Pengarah Filem Malaysia dan Persatuan Sutradara Malaysia.

“Semakan terkini menemukan pertukaran nama yang disahkan ROS kepada Persatuan Sutradara Malaysia pada 14 September 1995 tetapi barisan AJK yang dilantik membuat pindaan semula kepada nama Persatuan Pengarah Filem Malaysia pada 2008 memandangkan perkataan sutradara adalah istilah Indonesia.

“Namun oleh kerana pindaan ini tidak berdaftar maka ianya tidak terpakai; yang boleh dipakai ialah nama Persatuan Sutradara Malaysia juga. Tidak boleh di poster terpampang nama persatuan sutradara manakala kepala surat mencatit nama persatuan pengarah, ” ujar sumber itu lagi dengan nada kesal dan kecewa.

Sambungnya, perkembangan terkini menyaksikan beberapa wakil ahli FDAM bertemu Pengarah ROS Wilayah Persekutuan, Zairul Akmar Kassim untuk mendapatkan pandangan bagaimana kemelut dalaman persatuan ini dapat diselesaikan.

“Alhamdulillah, pertemuan itu mencetuskan beberapa pilihan strategi menyelamatkan FDAM daripada terkubur.

“Tiga AJK lantikan, Tunku Mona Riza Tunku Khalid, Osman Ali dan Joel Soh tidak hadir mesyuarat bulanan lebih daripada 3 kali berturut-turut tetapi masih dikekalkan.

“Perkembangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli lebih-lebih lagi kedengaran bahawa prinsip lantikan mereka atas sebab populariti bukannya komitmen yang mampu diberi.

“Lebih memburukkan keadaan apabila lantikan tiga pengarah tersohor ini tidak dibincangkan dalam kalangan AJK melainkan hanya dimaklumkan oleh Naib Presiden, Dr Mahadi J Murat,” katanya.

Ujarnya, rekod ROS juga menunjukkan FDAM pernah diberikan amaran bertulis atas kegagalan menghantar penyata kewangan selama 7 tahun berturutan.

“Ada desas desus dalam kalangan ahli bahawa terdapat gerakan untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Naib Presiden yang amat jelas cuba mengenepikan kuasa Presiden dalam banyak hal.

“Dua kali Dr Mahadi muncul di TV sebagai tamu mewakili FDAM. Kenapa bukan Presiden yang bercakap bagi pihak persatuan? Kami nampak seolah Dr Mahadi ini mempunyai agenda peribadi,” katanya lagi.

Ahli FDAM Tidak Diktiraf?

Sumber itu juga menjelaskan tindakannya membongkar kemelut dalaman FDAM ini bukan mahu mencari musuh tapi memperbetulkan keadaan agar hala tuju FDAM tepat dalam memperjuangkan ahli sekaligus disegani sebagai persatuan elit berprofil tinggi.

Sehubungan itu, usaha giat dijalankan untuk mendapatkan sekurang kurangnya 75 tandatangan Ahli Aktif yang layak untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan sekarang.

“Menurut perlembagaan, usul EGM mestilah disokong oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah ahli keseluruhan.

“AJK jangan salah faham, selain mereka menduduki kabinet urus tadbir, lebih penting mereka haruslah membawa suara ahli bukannya meremehkan pandangan ahli dalam jaringan WhatsApp sebagai hanyalah langau yang tidak perlu dilayan,” katanya.

Ujarnya lagi, banyak isu dalaman dan luaran FDAM tidak dipandang serius oleh pucuk pimpinan yang membuatkan ahli keliru, sedih dan marah. Begitupun, tiada notis perkembangan persatuan yang dimaklumkan.

“Kami tak tahu sasaran FDAM yang lebih jelas. Kami dibiarkan dalam kesamaran. Tiada lagi rasa bangga sebagai ahli FDAM.

Terdapat stesen televisyen seolah tidak mengiktiraf FDAM apabila membenarkan sesiapa sahaja mengarah program siaran TV. Penguatkuasaan Padu Citra untuk kelulusan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) bagaikan hilang taring disebabkan kelemahan perjuangan FDAM.

“Salah seorang AJK, Dr Khairulfazi Sa’ari dilantik pula sebagai Pengarah Kewangan untuk memantau urusan kewangan di bawah Bendahari, K Loganathan. Di mana rasionalnya.

“Bukankah sudah ada 2 juru audit yang dilantik ketika AGM yang lalu. Biarlah mereka melaksanakan mandat yang diberi ahli,” jelas sumber dengan penuh yakin.

Sumber itu juga memberitahu isu bayaran yuran pula sering dikaitkan dengan kekecewaan ahli mempersoalkan peranan dan sumbangan FDAM dalam menjaga kepentingan mereka.

Difahamkan, kadar bayaran khidmat pengarahan berbeza mengikut kehendak penerbit semata-mata.

Baginya, pendedahan kemelut dalam FDAM ini penting dalam menyedarkan ahli-ahli tentang apa yang sebenarnya terjadi.

Seandainya ahli merasakan FDAM masih relevan maka langkah drastik perlu segera diambil demi menyelamatkan persatuan yang bertapak hampir 30 tahun.

  • Kafebuzz.my

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino