RIZQ Mercy Perintis Projek Cinta Bantu Anak Jalanan
3 min read
Ia suatu yang menyedihkan apabila melihat kanak-kanak yang hidup merempat di jalanan.
Apakah nasib mereka kelak? Mereka bukan saja hidup dalam serba kekurangan daripada aspek keperluan asas tetapi matlamat hidup juga samar.
Jika ramai individu, syarikat korporat mahupun organisasi tampil membantu golongan sebegini khususnya sepanjang Ramadan, bagaimana pula aspek pendidikan untuk mereka?

Menyedari kepentingan ilmu dan pendidikan dalam diri manusia, Rizq Islamic School (RIS) tampil memainkan peranan memberikan pendidikan percuma untuk kanak-kanak kurang bernasib baik ini.
Menerusi satu program kemanusiaan yang dikenali sebagai Projek Cinta, sekolah persendirian yang dikenali sebagai pusat pendidikan tahfiz moden ini merealisasikan impian kanak-kanak ini untuk mendapat pendidikan yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif RIZQ Educare, Dr. Rizq Muhammad Syazwan Mohd Rosmin berkata, Projek Cinta adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah pertubuhan amal RIS iaitu RIZQ Mercy sebagai langkah progresif untuk membawa perubahan dalam kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik menerusi kepakaran RIS iaitu pendidikan untuk kanak,
“Tujuan RIZQ Mercy adalah memberikan perkhidmatan yang sedia ada di sekolah ini untuk orang di luar sana sama ada sekolah mahupun di Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya pada sidang media program Projek Cinta di Buku Jalanan Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Projek Cinta ini berjaya dijalankan buat julung kali di bangunan Buku Jalanan Chow Kit, Kuala Lumpur yang didiami lebih 150 kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur.
Berbeza dengan program seumpamanya yang pernah dijalankan organisasi lain sebelum ini, keunikan Projek Cinta ini diilhamkan daripada konsep pembelajaran yang diperaktikkan sekolah ini iaitu ‘Play Based Learning’ yang memberikan sesi pembelajaran yang menyeronokkan dan kreatif.
Guru Sebagai ‘Inspirer’

Meskipun program ini lebih memfokuskan kanak-kanak sebagai golongan sasaran tetapi Projek Cinta ini juga mendedahkan guru RIS dengan kaedah pendidika empati dengan membabitkan diri dalam aktiviti kemanusian dan melaksanakan aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.
Pendekatan sebegini penting sebagai salah satu cara dalam meningkatkan kaedah pembelajaran berasaskan keseronokkan.

Menariknya, guru RIS ini juga digelar ‘inspirer’ bukan sekadar sebagai tenaga pengajar tapi menjadi mentor dan pendokong untuk berdepan pelbagai karenah kanak-kanak agar minat ke sekolah dan tidak bosan dengan sesi pembelajaran yang dijalankan.
Bagi RIS, konsep ‘inspirer’ ini amat penting dalam proses pendidikan kanak-kanak terutamanya golongan sasaran kerana pendidikan hanya boleh dilakukan sekiranya kanak-kanak dapat merasakan perasaan penghargaan dan kasih sayang daripada komuniti.

Dr Rizq juga menambah, pendekatan psikologi dan konsep kekeluargaan diterapkan guru RIS ketika sesi pembelajara iaitu kanak-kanak dianggap sebagai adik dan anak-anak masing-masing.
“Harapan ke depan adalah untuk menjadi pusat atau hub dalam menarik lebih ramai sekolah-sekolah yang ada kepakaran berlainan untuk memberikan perkhidmatan yang sama,” katanya.

- Kafebuzz.my