Last Updated: 15/07/2019 - 5:44 PM

Artis Mungkin Layak Dapat Beratus Ribu Ringgit Tidak Sedar Hak Mereka

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) berharap masalah royalti artis dapat diselesaikan segera.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata sejak 19 tahun lalu Akta Hakcipta dipinda untuk memberi hak kepada pelaku atau artis dan pemuzik dalam rakaman muzik untuk kutip royalti dari tempat awam yang menggunakan karya mereka.

“Malangnya cara pelindungan yang dilakukan oleh pihak tertentu agak kurang memuaskan.

“Ini berlaku oleh kerana sejak akta ini dipinda pada tahun 2000 pihak artis tidak diberi peluang untuk mengendalikan perkara ini sendiri tetapi dari awal pindaan, pihak syarikat rakaman menguasai hampir kesemua aspek kutipan dan pengedaran royalti bagi pihak artis.

“Yang merumitkan keadaan ialah kebanyakan artis tidak ambil berat tentang perkara ini walaupun ia melibatkan lebih seratus juta ringgit setiap tahun bagi industri muzik keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan artis termasuk artis popular yang mungkin layak dapat beratus ribu ringgit tidak sedar tentang hak mereka dan jika ada yang faham pun mereka tidak tahu macam mana nak bertindak untuk menuntut hak mereka dalam hal ini.

“Kewujudan dua badan mewakili artis dalam perkara ini iaitu Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) dan Prism Bhd menambah kepada kekeliruan dan kerumitan dalam hal ini.

“Selain dua badan ini ada dua badan lain yang beroperasi mengutip dan mengedarkan royalti kepada ahli iaitu MACP (Music Authors’ Copyright Protection) mewakili komposer dan publisher serta PPM (Public Performance Malaysia) mewakili syarikat rakaman.

“Untuk cuba menyelesaikan kemelut yang wujud dalam perkara ini berdasarkan aduan diterima daripada orang awam tentang terlalu banyak badan kutipan yang tidak diselaraskan, kerajaan lama telah mengarahkan semua badan kutipan bergabung di bawah satu badan yang dinamakan Music Rights Malaysia Bhd atau MRM,” katanya.

image

Ujarnya, walaupun gabungan ini berjaya dilaksanakan artis masih lagi dinafikan hak mereka oleh kerana kewujudan dua badan yang mewakili golongan artis.

“Perkara ini merumitkan proses pengagihan royalti artis yang dikutip MRM kerana jumlah yang patut diberi kepada ahli dua badan tersebut tak dapat ditentukan kerana tiada kerjasama antara dua badan itu dan proses analisa tidak dapat dijalankan sewajarnya.

“Baru-baru ini satu antara dua badan tersebut iaitu Prism Bhd diarahkan tutup operasinya oleh mahkamah kerana mereka gagal membayar ganti rugi seperti yang diarahkan mahkamah kepada badan kutipan milik syarikat rakaman iaitu PPM.

“Bagi semua pihak dalam industri ini sesuatu yang dinanti-nantikan dan sepatutnya membantu ke arah menyelesaikan masalah kewujudan dua badan yang mewakili artis,” katanya.

Freddie berkata, jika hanya satu badan yang tinggal iaitu Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) yang akan mewakili artis-artis sudah tentu semua artis berkaitan akan dapat disatukan di bawah RPM dan tidak perlu lagi dibahagikan kepada dua badan berasingan.

“Tetapi perkara ini tidak berlaku. RPM menentukan syarat kepada ahli-ahli Prism Bhd bahawa mereka harus dapat surat pelepasan dari Prism Bhd sebelum mereka diterima sebagai ahli RPM.

“Bagi ahli Prism Bhd, ini merupakan sesuatu yang tidak masuk akal dan mustahil oleh kerana Prism telah tutup operasinya dan pejabatnya tidak berfungsi lagi.

“Kebanyakan ahli Prism Bhd amat kecewa dengan sikap RPM ini dan bagi mereka ia tidak munasabah bagi RPM minta mereka lakukan sesuatu yang mustahi.

“Menambah kepada keadaan ini ialah tindakan pihak KPDNHEP mengambil pendirian walaupun mahkamah mengarahkan Prism Bhd ditutup, lesen mereka masih sah dan ia masih wujud lagi selagi Jabatan Insolvensi dan “receiver” tidak lagi mengisytiharkan ia ditutup.

“Proses ini mungkin mengambil masa beberapa tahun dan jika KPDNHEP teruskan dengan pendirian ini sudah pasti artis artis tak akan dapat sebarang royalti sehingga perkara ini berlaku.

“Pada masa sama RPM masih lagi tegas bahawa mereka tak akan menerima bekas ahli Prism Bhd selagi lesen Prism belum dibatalkan oleh kementerian tanpa surat pelepasan Prism.

“Akhirnya sudah pasti artis tidak akan dapat royalti mereka hasil kutipan MRM untuk tahun 2017 dan 2018 yang kami fahamkan sudah melebihi RM16 juta,” katanya.

image

Freddie menyatakan KARYAWAN menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas dan drastik untuk membatalkan lesen Prism Bhd dengan serta merta kerana Prism tidak menepati syarat-syarat lesen mereka dan gagal menjalankan operasi kutipan dan pengagihan dengan sempurna.

“Pada masa sama, pihak KARYAWAN berharap RPM akan terus menerima mana-mana bekas ahli Prism sebagai ahli RPM walaupun mereka tiada sebarang surat dari Prism Bhd kerana ia tak dapat dilakukan dengan ketiadaan pejabat bagi Prism Bhd.

“Bagi kami ia harus mencukupi untuk mereka membuat pengisytiharan bahawa mereka ingin membatakan keahlian mereka dalam Prism Bhd dan ingin meyertai RPM.

“Hanya dengan kerjasama dua pihak berkenaan iaitu KPDNHEP dan RPM, perkara ini akan dapat diselesaikan dan semua artis yang berhak akan dapat royalti mereka selaras dengan hak mereka di bawah Akta Hakcipta.

“Jika tidak kami risau bahawa perkara ini akan berlanjutan beberapa tahun lagi yang akhirnya ia artis yang akan rugi berjuta-juta ringgit,” katanya.

– Kafebuzz.my

 

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino