Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Bakal Ditayangkan Di China
2 min read
Watak kartun Upin & Ipin memang cukup popular dalam kalangan peminat.
Merentasi tahun demi tahun, Upin Ipin terus relevan dan diminati ramai kanak-kanak.
Menantikan sekuel terbaru filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal menjengah pawagam tempatan pada 21 Mac ini, jenama ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila dibawa ke luar negara.
Menariknya, filem animasi terbitan Les Copaque Production (LCP) akan ditayangkan di China.
Usaha itu menjadi kenyataan selepas satu perjanjian persefahaman (MOU) antara LCP bersama Beijing Animation and Gaming Industry Association (BAGIA) dimeterai.
Kerjasama tersebut juga merujuk pada perkara berkenaan dengan industri animasi dan permainan video serta peluang untuk menganjurkan Global Mobile Game Confederation (GMGC) di Malaysia bagi tujuan pemasaran di Asia Tenggara.
Acara MoU itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, semalam.
Hadir sama, Pengarah Pengurusan LCP, Burhanuddin Md Radzi, Ketua Pengarah Kandungan LCP, Ainon Ariff bersama Ketua Setiausaha Beijing Animation & Gaming Association, Liu Chun Gang, Pengarah Sumber Manusia World Trade Centre Beijing, Huang Dayong serta delegasi dari China.
– Kafebuzz.my