Last Updated: 15/07/2019 - 5:44 PM

Media Cetak Perlu Berubah Selaras Dunia Digital

Di Malaysia, media massa bermula dengan surat khabar.

Akhbar pertama diterbitkan di negara ini ialah sebuah akhbar bahasa Inggeris diberi nama Prince of Wales Island Gacette diterbitkan di Pulau Pinang pada 1807.

Ini diikuti penerbitan akhbar-akhbar lain dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan sebagainya. Akhbar bahasa Melayu yang pertama ialah Jawi Peranakan diterbitkan di Singapura pada 1896. Akhbar bahasa Cina pertama, Chinese Monthly Magazine diterbitkan di Melaka pada 1815.

Sejak kemunculannya dari awal kurun ke-19, akhbar dalam pelbagai bahasa di negara ini berkembang dengan pesatnya sehingga ke hari ini. Media elektronik iaitu radio dan televisyen di negara ini mempunyai sejarah sejak tahun 1923 apabila eksperimen dalam penyiaran dimulakan oleh beberapa amatur di Johor melalui gelombang sederhana sejauh 300 meter.

Urusan-urusan penyiaran secara professional dimulakan pada tahun 1937 dan menjelang tahun 1946 Malaya (ketika itu) sudah mempunyai Jabatan Penyiaran.

Sejak itu, media elektronik berkembang pesat di negara ini. Media massa lazimnya terbahagi kepada dua klasifikasi iaitu media cetak dan elektronik.

Media cetak merangkumi semua jenis bahan bercetak seperti akhbar, jurnal, buku, majalah dan sebagainya. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘kuasa sebatang pen lebih tajam daripada sebilah pedang’.

Pepatah ini bermaksud media cetak mempunyai kuasa dan pengaruh kepada masyarakat. Akhbar merupakan media cetak yang penting dan berpengaruh di Malaysia.

Ini kerana akhbar merupakan sumber maklumat paling mudah didapati untuk ditatapi semua golongan. Oleh itu, akhbar pernah menjadi peranan penting dan mampu memberi kesan terhadap sosialisasi di Malaysia suatu ketika dahulu.

Kecanggihan media baharu pula memaparkan nilai interaktif sumber berita menjadikan masyarakat global terdedah dengan kepelbagaian maklumat. Tidak terkecuali rakyat negara ini turut menikmati hasil kecanggihan media yang pesat ini menjadikan maklumat sentiasa berada di hujung jari.

Era komunikasi manusia menjangkau lebih maju hasil perkembangan teknologi atau revolusi komunikasi yang berbentuk struktural dan teknikal. Komunikasi interaktif dengan gabungan teknologi komputer dan maklumat, rangkaian komunikasi dan kandungan media digital memperlihatkan manusia kini menggunakan secara maksimum bagi menyampaikan sesuatu.

Maklumat yang terhasil berbeza dengan teknologi pada era cetak atau penyiaran kerana media baharu mempunyai ciri-ciri konvergens, rangkaian digital, capaian global dan interaktif yang menggabungkan semua elemen komunikasi – lisan, tulisan, visual, data dan bunyi dengan menggunakan komputer dan alat telekomunikasi bagi menyatukannya dalam satu platform.

Dalam era kini, media baharu yang terkini dilihat lebih dominan berbanding dengan media tradisional atau media lama seperti media cetak, media elektronik, media siaran dan media interpersonal lain.

Menurut Saintis Komunikasi dan Media di Universiti New York, Profesor Dr Paul Levinson, media baharu yang terkini berkaitan dengan kemajuan dan impak media ‘lebih baharu’ daripada ‘media baharu’, sama seperti berbezanya ia daripada media baharu klasik seperti e-mel dan laman sesawang dan juga berbezanya media baharu daripada media lama seperti surat khabar dan televisyen.

Semakin banyak yang boleh dilakukan dengan teknologi baharu ini. Daripada papan mesej, bilik sembang dan komunikasi dalam kalangan rakan sebaya atau sekerja, Internet menjadi platform sosial moden massa yang bukan lagi sekadar sebagai alat atau kemudahan edaran, pengarkiban dan murah serta berasaskan teks semata-mata.

Ia berubah kepada media sosial yang digunakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di samping menyediakan kemudahan jaringan sosial dan interaksi antara pembaca dengan penulis atau penonton.

Melihat pula laporan akhbar Berita Harian bertarikh Isnin 19 November 2018, penulis Datuk Mior Kamarul Shahid ada menyatakan pengaruh media baharu membawa pelajar-pelajar di universiti awam kurang minat untuk membaca akhbar.

Hal ini kerana, mereka menyatakan bahawa mereka mengikuti setiap perkembangan semasa melalui media baharu sama ada portal berita, blog, Facebook dan sebagainya. Mereka juga membaca berita atas talian dari syarikat media arus perdana.
Industri media cetak perlu berubah seiring dengan perkembangan dunia digital bagi memastikan organisasi mereka sentiasa kekal relevan. Langkah mengadaptasi perubahan ini amat penting bagi mengikuti trend permintaan pembaca agar organisasi berkenaan tidak akan ketinggalan di belakang.

Malah, media tradisional juga perlu menggunakan segala platform sedia ada termasuk yang digunakan ketika ini seperti Facebook, Twitter dan sebagainya bagi membolehkan laporan berita disampaikan secara mudah kepada mereka.

Media cetak perlu mengadaptasi mengikut perkembangan semasa kerana ketika ini didapati ramai pembaca tidak lagi menggunakan cara konvensional untuk mendapatkan berita sebaliknya bergantung kepada telefon pintar semata-mata.

Untuk itu, kaedah bersesuaian perlu digunakan untuk memastikan berita disampaikan dengan jayanya kepada pembaca. Dengan cara itu akan menentukan sama ada sesebuah organisasi relevan atau tidak. Perkembangan teknologi yang semakin pesat turut memerlukan pengamal media menguasainya bagi memastikan berita yang disampaikan lebih pantas dan tepat kepada pembaca.

Semua media tradisional kini dalam proses ke arah menuju perkembangan teknologi itu dan Utusan Malaysia juga tidak ketinggalan mengambil inisiatif sama. Utusan Malaysia juga didedahkan dengan kaedah Mojo (Mobile Journalism) sebagai usaha mempelbagaikan penyampaian berita kepada pembaca.

Ini selaras dengan kewujudan media sosial di negara ini seperti Facebook, Instagram danTwitter yang menjadi pesaing dan sumber berita alternatif kepada pembaca

Teks oleh Nur Hidayah Rahmat yang merupakan pelajar subjek CTW613 Penerbitan Media dari Fakulti Filem, Teater dan Animas (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor.

– Kafebuzz.my

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino