Ayam Dalam Rock Sangkut Biasa-Biasa Saja Tapi Dalam Filem Ini, Dia Level Fattah Amin!
2 min read
Berapa banyak filem atau drama yang menampilkan ayam sebagai pelakon?
Ya, memang betul. Bunyinya agak pelik bila haiwan sendiri jadi pelakon.
Persoalannya bolehkah ayam berlakon atau sekadar gimik untuk tarikan penonton.
Dalam filem tiada tajuk arahan Mawi, ayam juga diangkat sebagai pelakon! Bayangkan bagaimana ayam boleh berkomunikasi dengan Hazama yang juga salah seorang pelakon utama filem ini.
Ujar Hazama, dia sendiri tidak tahu kenapa Mawi bagi padanya babak berkawan dengan ayam dan pokok.
“Karakter saya sebagai Abadi cukup istimewa. Dalam banyak-banyak karakter, dia bagi saya berborak dengan ayam.
“Bagi mereka yang pernah tengok telefilem Rock Sangkut, tahulah nama ayam tu siapa tapi ayam dalam filem ini lain.
“Macam ayam dalam Rock Sangkut biasa-biasa saja tapi dalam filem ini, dia level Fattah Amin!,” katanya kepada Kafebuzz.my.
Sebelum ini, Hazama pernah berkongsi pengalamannya ketika berlakon filem ini. (Baca lagi: “Entah Apa Yang Mawi Nak, Saya Tak Faham” – Hazama)
Hazama yang ditemui ketika sesi dubbing filem tersebut di Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini turut menyatakan ayam kali ini pakai baju dan tutup aurat!
“Dialog saya dalam filem ini juga ringkas tapi ada mesej. Watak Abadi sebenarnya tidak banyak dialog sebab saya pendiam dibandingkan Joey dengan Along.
“Babak saya bercakap dengan ayam bukan saja-saja tapi ada sesuatu yang Mawi fikirkan. Bagi saya ikut masing-masing punya kupasan bila tengok filem ini nanti,” katanya.
Sama ada babak dalam filem genre komedi Islamik ini diterima atau tidak apabila tayangan nanti, Hazama menyerahkan kepada penonton untuk membuat interpretasi sendiri ketika menonton di pawagam tidak lama lagi.
– Kafebuzz.my