Harga Perkhidmatan Jalur Lebar Bukanlah Masalah Utama Lagi

Berikutan perlaksanaan Harga Akses Standard Mandatori (MSAP) yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 8 Jun 2018, harga perkhidmatan jalur lebar juga turut terkesan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyatakan pembiayaan jalur lebar juga akan berkurangan sebanyak 25 peratus disebabkan penurunan harga borong ini.

Dalam hal ini juga, beliau mengatakan penurunan harga ini sepatutnya sudah dijalankan sejak 1 Januari 2018 tetapi SKMM mahu membuat kajian semula terhadap butiran komponen harga.

Khabar tentang penurunan harga sangat ditunggu-tunggu ramai pengguna. Namun begitu, tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi majoriti rakyat Malaysia.

Menurut laporan kewangan Telekom Malaysia (TM) untuk tahun 2017, mereka mendapati seramai 1.13 juta pelanggan Unifi dan 2.3 juta daripadanya ialah pelanggan Streamyx yang menunjukkan harga bukan lagi masalah utama tetapi masalah dalam penyediaan infrastruktur jalur lebar di negara ini.

Penggunaan Streamyx berharga RM100 sebulan dengan kelajuan 1.4Mbps ialah sedikit merugikan apabila penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi adalah RM119 sebulan dengan kelajuan 10Mbps.

Sehubungan dengan itu, masih ramai golongan penduduk di bandar yang tidak dapat melanggan Internet berkelajuan tinggi kerana kita sedia maklum dengan kewujudan TM Unifi, Maxis Home Broadband mahupun Time Broadband hanyalah ada di bandar-bandar utama sahaja.

Bagi memperluas penggunaan, penyediaan infrastruktur jalur lebar terlebih dahulu harus diperkembangkan ke setiap pelosok pekan dalam negara.

Dalam mengatasi masalah ini, TM telah membelanjakan sebanyak RM1.3 bilion dan RM500 juta dibantu kerajaan dalam menjalankan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB2) yang meliputi beberapa bandar utama.

Bagi penduduk luar bandar pula, TM telah menaikkan taraf talian kuprum untuk kelajuan Internet mencecah 20Mbps.

Oleh itu, penyebaran infrastruktur jalur lebar yang tidak menyeluruh dalam negara merupakan masalah utama kepada penggunaan jalur lebar yang berkelajuan tinggi.

Jelaslah bahawa perkembangan Internet yang lengkap di setiap pelosok Malaysia memakan perbelanjaan tinggi serta kerjasama yang padu antara pihak kerajaan dengan TM.

Usaha dalam meningkatkan penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi ini ke seluruh Malaysia diharap dapat direalisasikan dalam waktu yang terdekat bagi menyenangkan majoriti rakyat Malaysia.

Sumber: Soya Cincau

Artikel ini ditulis oleh Nornabilah Alias yang juga pelajar subjek FWS531, Penulisan Media Elektronik dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

– Kafebuzz.my

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*