Syor GAFIM Dibubarkan!

Kepercayaan penggiat seni terhadap kewibawaan Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Othman berterusan termasuk menerusi media sosial.

Begitu juga, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyatakan sokongan penuh kepada Kamil agar terus menerajui FINAS untuk satu penggal lagi.

“KARYAWAN tolak sama sekali cadangan GAFIM (Gabungan Persatuan Karyawan Filem) bahawa tindakan harus diambil atas Kamil atas sebab-sebab yang dirasakan tidak munasabah.

“Pada pandangan KARYAWAN, Kamil telah membawa pembaharuan penting dalam FINAS dalam setahun setengah sejak beliau di lantik sebagai Ketua Pengarah antaranya mengadakan dialog bulanan dengan industri secara langsung untuk mendengar pandangan pemain industri kreatif sendiri.

“Beliau juga berjaya memperkenalkan semula skim insentif filem cereka yang telah di gantung sebelum ini. Selain itu, beliau membawa pembangunan ketara kepada industri filem termasuk menggalakkan penerbitan dari Sabah dan Sarawak,” kata Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, prestasi Kamil mengambil alih FINAS menyaksikan industri perfileman melihatkan beberapa filem mencapai kutipan pecah panggung tertinggi seperti Munafik, Polis Evo, Ola Bola dan filem animasi Boboiboy.

“Bagi KARYAWAN, GAFIM tidak mewakili industri sepenuhnya kerana beberapa persatuan penting dalam industri khususnya Persatuan Penerbit Filem atau PFM merupakan persatuan paling penting dalam industri mewakili penerbit filem, televisyen, animasi dan dokumentari bukan ahli GAFIM.

“KARYAWAN sendiri tidak menjadi ahli GAFIM sejak dari penubuhannya pada tahun 2000.

“KARYAWAN juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beberapa individu dalam media sosial yang mengugut Kamil dan mengancam bertindak kasar terhadapnya.

“Tindakan seperti ini menunjukkan sikap dan mentaliti rendah yang di amalkan oleh sesetengah pihak.

“Dari dahulu KARYAWAN membantah kewujudan kempen kurang bijak yang dianjurkan GAFIM seperti ‘Switch Off’.

“KARYAWAN melihat program ini sebagai satu usaha pihak GAFIM yang gagal kerana tidak berjaya membawa apa-apa perubahan kepada industri kreatif negara.

“Selain itu tindakan Presiden GAFIM menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia tanpa pengetahuan presiden-presiden dalam gabungan merupakan satu tindakan tidak professional. Akibatnya 5 persatuan daripada 10 persatuan dalam GAFIM mengumumkan keluar dari GAFIM.

“Bagi KARYAWAN, pandangan GAFIM tidak lagi patut diambil kira oleh mana-mana pihak kerana persatuan yang berada di luar GAFIM, iaitu PFM, KARYWAN, PROFIMA, FDAM, PPFIM, PENULIS dan POSTAM merupakan suara majoriti pemain industri.

“Kami syorkan GAFIM dibubarkan kerana tidak lagi mendapat sokongan majoriti pemain industri,” katanya.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*