Nak Proposal, Produser Wajib Bayar!

Bermula 8 April 2016, setiap proposal yang dihantar kepada produser wajib dibayar.

Perkara iu ditegaskan Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS) berhubung caj berkenaan iaitu merujuk telefilem sebanyak RM300, supertele dan drama bersiri (RM500) serta filem (RM1,000).

“Harga setiap proposal ini adalah asing daripada harga skrip yang tertakluk dalam surat ‘cover letter’ PENULIS.

“Kami juga tidak akan menanggung risiko sekiranya proposal diterima atau tidak oleh stesen. Jikalau anda, penerbit inginkan proposal, senarai di atas adalah harga yang anda perlu bayar kami.

“Sebagai penerbit, harga di atas adalah risiko yang anda harus tanggung sebagai ahli perniagaan.

“Setiap kali kami menulis proposal, ini diistilahkan sebagai kerja dan wajib berbayar.

“Amalan tidak membayar untuk proposal merupakan amalan jahil, korup dan cukup salah di mana ‘tidak ada kerja percuma’,” kata Pengerusi PENULIS, Alfie Palermo dalam satu kenyataan di Facebook persatuan itu.

Tambahnya, PENULIS menyarankan setiap ahli menyimpan bukti emel dan menandatangani NDA (non-disclosure agreement) dengan penerbit manakala satu salinan tersebut dihantar ke penulis.skrin@gmail.com sebagai bukti untuk mengelakkan kes penerbit mencuri proposal yang sudah sekian lama menjadi lumrah di negara ini.

“Memandangkan penerbit memerlukan proposal kami, dan setelah sekian lama kami ditindas, kami mengambil langkah ini untuk menjaga kebajikan kami.

“Kami akan mengenakan tindakan keras ke atas mana-mana syarikat penerbitan yang melanggar syarat di atas.

“Kami akan melaporkan ke media serta FINAS, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan membuat laporan polis ke pihak berkuasa seandainya berlakunya sebarang perlanggaran syarat di atas.

“Kami akan ‘blacklist’ syarikat anda dan menghalang sebarang penulis skrip di Malaysia untuk bekerja dengan anda.

“Kami terpaksa mengambil langkah ini demi menjaga kebajikan ahli kami yang sudah lama tertindas,” katanya.

– Kafebuzz.my

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*