RM8.5 Juta, 11 Hari

Bagi penonton yang pernah menyaksikan filem Khurafat lima tahun lalu, sedar sentuhan pengarah muda berbakat besar, Syamsul Yusof menghasilkan filem genre seram suatu yang berbeza.

Sepertimana Khurafat, buah tangan terbaru Syamsul kali ini iaitu Munafik yang kini hangat ditayangkan di pawagam menjadi satu lagi pencapaian terbaik buat dirinya apabila menerima sambutan positif penonton.

Produser, Skop Production, Datuk Yusof Haslam berkata, filem berkenaan mencatat kutipan RM8.5 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

“Jumlah kutipan filem ini mengatasi Khurafat yang mencatat jumlah sama dalam tempoh 6 minggu tayangan.

“Kami menjangka filem ini mampu cecah kutipan RM10 juta pada Rabu ini dan mencipta rekod baru,” katanya dalam temubual eksklusif di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.

image

Menurutnya, filem Munafik yang turut menampilkan Syamsul sebagai teraju utama dijangka mengatasi rekod filem KL Gangster yang meraih RM12 juta dalam tempoh lima minggu tayangan.

“Ia bukan filem seram biasa dan kosong yang mempunyai suntikan agama dan pengajaran moral pada penonton.

“Banyak visual yang membawa mesej tersirat daripada tersurat.

“Menariknya, rata-rata penonton datang menonton lebih daripada sekali termasuk ustaz dan wanita yang memakai purdah datang menontonnya di pawagam,” katanya.

Tambahnya, filem menggunakan kos sebanyak RM2 juta ini tidak mempertontonkan adegan bersentuhan antara bukan muhrim dan mengakui filem ini paling banyak terima pujian daripada penonton.

“Penonton puji melambung sehingga Syamsul sendiri menitis air mata.

“Dia tak sangka filem terbarunya sehebat ini tetapi akui masih banyak kelemahan yang perlu dia belajar dan pertingkatkan,” katanya.

Sebagai produser dan pengarah filem berpengalaman, beliau melihat Munafik memberi perubahan baru pada senario filem seram yang mengalami kejatuhan kutipan sejak dua tahun lalu.

“Walaupun banyak filem seram, ia bukan penentu filem itu berjaya sebaliknya, ia masih bergantung pada plot penceritaan.

“Seperti Munafik, Datuk Rosyam Nor juga memberitahu penonton berdiri tepuk tangan sebaik filem ini habis tayangan,” katanya.

image

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*