Isu Royalti: Artis Kerugian Berjuta Ringgit

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) kecewa tindakan salah satu badan kutipan royalti yang dilesenkan kerajaan untuk mewakili artis dan pelaku iaitu PRISM Bhd apabila didakwa hanya mengagihkan sejumlah kecil royalti kepada ahlinya.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, pengagihan ini dibuat selepas ditolak kos tinggi yang dicatatkan dalam penyata akaun termasuk bayaran lebih RM320,000 kepada pengarah-pengarah dan lebih RM330,000 kepada kakitangan PRISM Bhd untuk tahun 2014 dan 2015.

“Ahli-ahli berdaftar dengan PRISM Bhd, yang sebilangan besarnya merupakan ahli KARYAWAN telah memberi mandat kepada PRISM Bhd mewakili mereka dalam hal kutipan royalti untuk persembahan muzik mereka di tempat awam seperti kelab, restoran dan karaoke.

“Ramai antara mereka telah merungut kurang puas hati dengan PRISM Bhd dimana pada mesyuarat PRISM yang diadakan baru-baru ini apabila mereka hanya diberi bayaran ‘token’ sama rata antara semua ahli iaitu RM400 untuk ahli berkumpulan dan RM600 untuk artis solo,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, tanpa sebarang penjelasan tentang cara jumlah itu ditentukan, bayaran pengagihan sama rata kepada semua ahli ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip badan kutipan royalti berasaskan penggunaan muzik di tempat awam.

“Dalam sistem tersebut, artis yang mana muzik mereka kerap dipersembahkan di tempat awam harus dibayar lebih berbanding artis yang muziknya kurang dipersembahkan di tempat awam.

“Pengagihan royalti sama rata ini jelas menujukkan pihak pengurusan PRISM Bhd kurang peka dengan cara pengurusan badan kutipan royalti, tambahan pula dengan kos perbelanjaan tinggi.

“Kami rasa mereka tidak layak diberikan tanggungjawab yang berat seperti ini iaitu mewakili ahli-ahli dalam hal kutipan royalti persembahan awam muzik yang boleh mencecah jumlah berjuta-juta ringgit setiap tahun,” kata Freddie yang juga seorang penyanyi, pemuzik dan komposer yang bertindak sebagai pengasas dan pengerusi pertama bagi badan kutipan royalti untuk komposer iaitu MACP dari tahun 1989 sehingga 2002.

Katanya, tindakan PRISM Bhd ini jelas berbeza dengan tindakan satu lagi badan yang diberikan lesen oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIpo) iaitu Recording Performers Malaysia Bhd (RPM).

“RPM telah mengadakan dua majlis pengagihan royalti untuk ahli dimana telah dimaklumkan kepada ahli bahawa sejumlah melebihi RM6.5 juta dikutip RPM dalam tiga tahun kebelakangan ini.

“Pada majlis tersebut, setiap ahli diberikan penyata akaun dan dibayar ikut persembahan lagu- lagu mereka di tempat awam, bukan sama rata seperti yang telah dilakukan oleh PRISM Bhd.

“Ada yang dapat beribu-ribu ringgit dan ada yang lain yang mendapat beratus ringgit sahaja. Ini merupakan cara pengagihan yang betul dan telus.

“Pengarah-pengarah RPM pun tidak terima sebarang bayaran dan bertugas secara sukarela.

“Selepas mesyuarat PRISM Bhd yang di adakan baru-baru ini, ramai ahli mereka telah menghubungi KARYAWAN untuk bantu mereka membatalkan keahlian dalam PRISM Bhd dan mendaftarkan mereka dengan RPM.

“Kami berharap pihak kerajaan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan sendiri mengambil berat tentang hal ini dan bertindak cepat menangani masalah ini.

“Artis dan pemuzik menjadi mangsa keadaan dimana dengan kekeliruan yang ditimbulkan melalui dua lesen yang telah diberikan kepada dua badan berasingan yang mewakili golongan yang sama iaitu RPM dan PRISM Bhd.

“Ramai pihak yang menggunakan muzik di tempat awam mengambil kesempatan untuk tidak membayar apa-apa royalti kepada sesiapa pun.

“Artis kita telah rugi berjuta-juta ringgit akibat perkara ini. Dengan prestasi buruk dan kos-kos tinggi yang ditolak dari royalti hasil kutipan PRISM Bhd selepas tiga tahun kewujudannya, kami rasa sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas dan minta PRISM Bhd dibubarkan dan ahli-ahlinya di daftarkan dengan RPM.

“Seterusnya, RPM akan dapat meneruskan pemberian pelindungan sewajarnya kepada artis dalam hal kutipan royalti ini,” katanya.

– Kafebuzz.my

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*