Kenangan 2 Legenda Kongsi Maggi Goreng…

Dalam setiap bait lirik dalam lagu yang dihasilkan membawa mesej pada pendengar.

Begitu juga ia memberi pengertian pada penyanyi yang mempunyai sejarah ketika merakam lagu berkenaan.

Kisah di sebalik lagu dan pengalaman berharga dilalui penyanyi menjadi antara cerita menarik untuk disampaikan dua penyanyi tersohor, Datuk Ramli Sarip bersama Datuk M Nasir kepada peminat.

Menariknya, mereka akan bergandingan menjayakan acara konsert jelajah, Ramli Sarip & M Nasir University Tour 2016 yang akan bermula pada 13 Februari sehingga 9 April 2016 nanti.

Ramli berkata, acara ini cukup penting untuk mereka berkongsi pengalaman lalu dengan peminat.

“Pengalaman, kehidupan dan falsafah kami dalam membuat dan mempersembahkan dalam bentuk seni dikongsi bersama peminat.

“Pada awalnya kita tak tahu apa yang mereka nak tapi kita tahu apa yang kita mahu,” katanya pada sidang media acara berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, beliau sendiri pada awal ketika menjadi penyanyi tidak terfikir untuk menjadi penulis lirik dan komposer tetapi ia terjadi ketika melalui perjalanan hidup.

“Setiap album yang dihasilkan mempunyai tema tersendiri.

“Pada tahun 1980, saya tiada pengalaman dalam penciptaan lagu tetapi saya tahu apa yang saya mahu seperti mana lagu Pelarian yang membawa kisah pelarian Vietnam di Pulau Bidong, Terengganu ketika itu.

“Begitu juga saya kenal M Nasir kira-kira 38 tahun lalu. Kami pernah duduk dalam van, kongsi maggi goreng dan terfikir apa label yang kita nak sain,” katanya.

Katanya, di setiap 7 universiti yang dipilih sebagai lokasi persembahan, acara dijangka berlangsung selama 2 jam turut diselitkan dengan aktiviti wacana iaitu sesi berbicara bersama peminat.

image image image
– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*