17/01/2021

KARYAWAN Cadang Kerajaan Ambil Alih CCIG

2 min read

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez menyatakan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) sebagai satu badan yang gagal dalam memberi penerangan dan menjelaskan sistem operasinya kepada penggiat industri kandungan kreatif.

“Sebagai satu badan yang sudah menerima berjuta-juta ringgit daripada kerajaan untuk menampung kos operasinya, mereka seharusnya mengadakan kempen untuk menerangkan kepada penggiat industri tentang operasinya, cara menjalankan akreditasi dan apakah faedah untuk mendapatkan akreditasi daripada mereka.

“Malangnya, perkara itu tidak dilakukan dan ramai penggiat industri masih kabur tentang kewujudannya dan apakah peranannya dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, ramai penggiat seni tidak tahu cara yang digunakan untuk mengakreditasikan orang industri.

“Bagi kebanyakan orang industri kewujudannya mengelirukan pemain industri kreatif kerana penambahan satu lagi persatuan dalam suatu industri yang sudah sesak dengan pelbagai persatuan yang tidak berjalan dengan sempurna.

“Kenyataan kami bahawa mereka yang mendapatkan akreditasi ditolak oleh produksi luar berdasarkan majlis dialog yang diadakan dengan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Othman baru-baru ini yang diberi tajuk #tanyaKP,” katanya.

Katanya, dalam dialog tersebut Kamil menyatakan walaupun industri ada senarai orang yang telah diakreditasikan tetapi apabila melalui penapisan produksi luar, mereka didapati kurang sesuai untuk bekerja dalam produksi antarabangsa mereka.

“Ini menunjukkan proses akreditasi yang dijalankan tidak menepati piawaian yang sama dengan keperluan pihak produksi antarabangsa.

“Lagipun pada masa kenyataan itu dibuat tiada sebarang penjelasan dari mana-mana wakil CCIG yang sepatutnya hadir pada majlis yang cukup penting itu.

“Oleh sebab itu kami sarankan supaya kerajaan meneliti semula perjalanan CCIG selepas 5 tahun kewujudannya dengan membelanjakan berjuta-juta ringgit peruntukkan kerajaan masih kurang jelas dari segi operasinya serta peranan yang dimainkan untuk martabatkan industri kandungan kreatif negara.

“Kami berharap satu tindakan cepat daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia diadakan untuk memperbaiki keadaan ini.

“Mungkin cara yang terbaik adalah untuk melantik beberapa wakil kerajaan sebagai Pengerusi dan ahli lembaga pengarah oleh kerana ia melibatkan penggunaan dana kerajaan.

“Sekiranya, perkara ini berlaku kerajaan boleh menentukan penilaian yang dibuat adalah tulus dan mengikut kehendak mana-mana produksi luar yang ingin membuat penggambaran di sini dengan penglibatan orang tempatan yang telah diakreditasikan,” katanya.

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.