Belajar Daripada Kebodohan

Lebih dikenali sebagai pelakon yang pernah memenangi pelbagai anugerah antaranya Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem dan drama, populariti Datuk Rosyam Nor tidak pernah pudar.

Atas populariti itu juga ia banyak membantu aktor berusia 48 tahun iniĀ mengembangkan bisnes dalam bidang produksi dan pertanian.

Menariknya, visi beliau sebagai ahli perniagaan bukan hanya fokus pada dua bidang tersebut semata-mata tetapi aktif diundang sebagai penceramah.

Dalam pertemuan eksklusif bersama Kafebuzz baru-baru ini, Rosyam menyatakan beliau menerima sambutan positif daripada pihak penganjur dan peserta dalam setiap acara yang dihadirinya.

“Pelbagai agensi kerajaan termasuk universiti mengundang saya sebagai penceramah bercakap mengenai keusahawanan dan motivasi sebagai ahli perniagaan,” katanya ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sejak 5 tahun aktif sebagai penceramah, beliau juga berkongsi pengalaman mengendalikan bisnes pertanian di Lanchang, Pahang iaitu mempunyai 5,000 pokok nangka manakala durian belanda sebanyak 7,000 pokok untuk dalam pasaran dalam negara.

“Saya juga bercerita soal penjenamaan dan pemasaran serta pengalaman jerit perit memulakan perniagaan.

“Sekarang ramai belia digalak terbabit dalam perniagaan dalam usaha negara mahu bumiputra menyumbang pada negara sebanyak 30 peratus termasuk dalam bidang pertanian.

“Pertanian memang bagus untuk diceburi tetapi pulangan lambat seperti nangka mengambil masa antara 3 sehingga 4 tahun.

“Durian belanda pula mengambil masa selama 2 sehingga 2 tahun setengah,” katanya.

Katanya, usahawan tani perlu mempunyai daya ketahanan tinggi dan buatĀ sementara waktu boleh mengusahakan tanaman kontan.

“Saya pernah buat 2 kali bisnes jati emas dan herba juga ternakan kambing tetapi gagal.

“Namun, kegagalan itu adalah suatu pengalaman pada diri sendiri untuk belajar daripada banyak faktor termasuk kebodohan sendiri tidak mengkaji sesuatu bisnes itu.

“Bagi saya, untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya perlu belajar daripada orang lain dan hadir ke seminar untuk timba ilmu perniagaan,” katanya.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*