Isu Pelakon Dipukul Ke Finas & PFM

Susulan insiden pelakon, Ika Nabila dipukul seorang pengarah drama pada minggu lalu, laporan kes berkenaan akan dibawa kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk tindakan lanjut.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez berkata, laporan itu akan dihantar bersama laporan polis yang dibuat pelakon itu sebelum ini.

“Satu salinan juga akan dihantar kepada Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) untuk memberitahu pada semua ahli persatuan itu mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengarah itu,” katanya kepada Kafebuzz, baru-baru ini.

Menurutnya, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku apatah lagi menggunakan kekerasan terhadap pelakon.

“Ini kali pertama saya mendengar pengarah pukul pelakon tanpa sebab yang kukuh. Apa yang diharapkan, insiden ini menjadi iktibar pada pengarah lain agar tidak mengundang padah pada kerjaya mereka.

“Saya amat bersimpati dengan Ika dan berharap insiden ini tidak menjejaskan kerjayanya sebagai pelakon.

“Walaupun dia sudah tarik diri daripada penerbitan tersebut, diharap tiada balasan stesen televisyen sebaliknya membantunya dengan peluang berlakon lain agar dapat melupakan insiden berkenaan,” katanya.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*