Kerangka Pengiktirafan CCIG Daripada PGA

Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) menjelaskan badan itu bukan agen dalam memastikan setiap ahlinya mendapat pekerjaan tetapi berdasarkan penawaran dan permintaan.

“Pihak CCIG menyediakan pangkalan data setiap ahli bagi memudahkan pelabur atau sesiapa sahaja yang mahukan khidmat penggiat industri.

“Pemilihan dan keputusan akhir terletak pada pihak yang menawarkan pekerjaan tersebut berdasarkan kriteria tertentu.

“Tidak timbul soal akreditasi CCIG tidak diiktiraf atau tidak diterima oleh pihak antarabangsa,” kata Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli dalam satu kenyataan yang diemel kepada Kafebuzz, hari ini.

Menurutnya, CCIG menerima pengiktirafan terhadap kerangka pengiktirafan industri kreatif yang digunapakai CCIG daripada Producers Guild of America (PGA).

“Ini menunjukkan proses pentauliahan ini adalah menepati dan diiktiraf dinperingkat antarabangsa.

“CCIG ingin menegaskan sekali lagi bahawa proses pentauliahan dibuat panel terdiri tujuh pakar industri daripada lima pakar dalam bidang industri manakala dua wakil kerajaan.

“Panel terlibat seperti Datuk Yusof Haslam, Dr  Mahadi J Murat, Datuk M Nasir, Othman Hafsham, Aziz M Osman, Nagaraj, Habsah Hassan dan Adman Salleh.

“Mereka ini adalah pakar dalam bidang masing-masing serta mampu melakukan penilaian,” katanya.

Katanya, soal ketelusan dan integriti amat dititikberatkan dalam memastikan proses penilaian dan pentauliahan mencapai standard yang ditetapkan.

“Tuduhan akreditasi diberi pada kenalan juga tidak benar kerana semua ahli CCIG layak melalui proses akreditasi secara sukarela dan mereka akan dinilai pakar industri dalam bidang masing-masing,” katanya mengulas lanjut kenyataan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez berhubung proses penilaian digunakan CCIG gagal menepati piawaian antarabangsa yang digunakan produksi luar dan berkemungkinan besar wujudnya kelemahan dalam proses penilaian dan akreditasi yang dikelolakan CCIG sebelum ini.

Tambah Jurey, pihaknya bersedia memberi penerangan secara eksklusif kepada Freddie atau sesiapa saja mengenai peranan dan fungsi CCIG sepenuhnya.

“CCIG mengharapkan Freddie yang merupakan wakil industri dalam Jawatankuasa PUSPAL iaitu jawatankuasa yang meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing supaya memainkan peranan proaktif dalam memastikan pengunaan tenaga kerja tempatan diutamakan dalam setiap permohonan penggambaran filem luar negara di Malaysia.

“CCIG mengharapkan sokongan semua pihak dalam memastikan kerajaan terus memberi kepercayaan dalam membantu mempertingkat taraf profesional penggiat industri kreatif tempatan,” katanya.

Katanya, CCIG juga menjemput secara sukarela kepada Feddie yang juga ahli CCIG untuk menjalani proses penilaian untuk diberi pentauliahan agar membuktikan proses yang dijalankan adalah tulus dan berintegriti.

– Kafebuzz.my

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*