Teliti Semula Akreditasi CCIG

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menggesa kerajaan meneliti semula kewujudan dan perjalanan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) sebagai suatu badan yang ditubuhkan khas untuk memberi pengiktirafan dan akreditasi kepada penggiat seni dalam bidang industri kandungan kreatif.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, wujud penggiat seni yang tidak layak diterima produksi antarabangsa.

“Kami menyatakan begini oleh kerana baru baru ini didedahkan bahawa walaupun ada penggiat industri telah menerima akreditasi dari pihak CCIG dan berada dalam pangkalan datanya, mereka tidak dapat di terima produksi luar untuk penerbitan mereka yang menjalankan produksi di sini.

“Ini kerana mereka tidak dapat mencapai taraf yang sepatutnya untuk bekerja dalam sebuah penerbitan bertaraf antarabangsa.

“Ini bermakna proses penilaian yang digunakan CCIG gagal menepati piawaian antarabangsa yang digunakan produksi luar dan berkemungkinan besar wujudnya kelemahan dalam proses penilaian dan akreditasi yang dikelolakan CCIG sebelum ini.

“Kami difahamkan CCIG yang beroperasi selama 5 tahun telah membelanjakan berjuta-juta ringgit termasuk lawatan ke Amerika Syarikat dan England untuk mengkaji cara dan menilai piawaian yang digunakan disana.

“Kami tidak salahkan kerajaan kerana niatnya memang baik terhadap industri tetapi tanggungjawab harus terletak dalam pihak yang menjalankan CCIG.

“Kerajaan perlu teliti semula operasi CCIG dan mengemaskinikannya supaya menepati kehendak produksi daripada mana-mana negara luar supaya menentukan bahawa individu yang terdapat dalam pangkalan data CCIG betul-betul layak mendapat akreditasi dan bukan hanya diberikan berdasarkan kawan atau kenalan,” katanya kepada Kafebuzz, hari ini.

Katanya, CCIG perlu melakukan pengiktirafan terhadap ahli menerusi akreditasi secara tulus.

“Tiada tempat untuk pilih kasih dan jika seseorang itu tidak layak diberi pengiktirafan, kita harus akur dengan keadaan itu.

“Oleh yang demikian satu usaha harus dilakukan untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui proses latihan sehingga berjaya mencapai taraf yang diperlukan oleh produksi antarabangsa,” katanya.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*