[Eksklusif] Cara Terbaik Pinda Skim Wajib Tayang?

Selama ini, Skim Wajib Tayang membela nasib produser filem tempatan memastikan tayangan selama 14 hari di pawagam.

Namun, syarat berkenaan juga tertakluk pada budi bicara pemamer (pawagam) boleh tarik semula filem berkenaan jika bilangan penonton kurang 15 peratus.

Selepas sedekad ia dikuatkuasakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), apakah skim ini masih membantu penggiat seni atau sudah sampai masanya penambahbaikkan dilakukan.

Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman berkata, segelintir penggiat seni salah faham terhadap hasrat FINAS untuk melakukan pindaan peraturan itu.

“Saya mahu bertanya pada produser, sama ada skim ini membantu mereka atau memberi pemamer cara lain atau mungkin ada cara lain yang terbaik untuk kedua pihak,” katanya secara eksklusif kepada Kafebuzz ketika ditemui di FINAS, Ulu Klang, Selangor, hari ini.

Menurutnya, FINAS mempunyai perancangan memperbaiki skim berkenaan menerusi bengkel yang mengajak pemamer dan penggiat seni berkumpul di Malaysia Content Pitching Centre, Platinum Sentral, Kuala Lumpur pada 19 November ini.

“FINAS ingin tahu apakah skim ini berjaya dan paling baik. Jika baik, kita masuk fasa kedua.

“Apa lagi caranya jika filem kita bimbang terhadap saingan filem Hollywood pada masa tayangan tertentu.

“Selama ini pelindungan terhadap filem tempatan memang ada tetapi jika dilihat semula 80 filem ditayangkan pada tahun lalu, ada produser mengakui ada filem ini dihasilkan cincai,” katanya.

Katanya, segelintir penggiat seni tidak membuat rujukan filem kehendak pasaran selain lebih bersikap negatif.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*