25/01/2021

[Eksklusif] ‘Sarang’ Tarik Perhatian Belia Hayati Seni

2 min read

Memasang impian sejak tiga tahun lalu, siapa sangka rumah rehat Tanjung Malim yang sekian lama terbiar menjadi lokasi penggiat seni dan masyarakat setempat berkumpul.

Dikenali ‘Sarang Art Hub’, pencetus idea iaitu pengarah filem terkenal, Mamat Khalid merealisasikan impiannya untuk membantu penggiat seni dan golongan muda berkarya serta berhibur.

“Tiga tahun lalu, saya terfikir untuk buka pusat belia dan mencadangkannya kepada majlis daerah di situ,” katanya ketika ditemubual eksklusif Kafebuzz di Sarang Hub Art, Tanjung Malim, Perak, hari ini.

Menurutnya, Sarang yang dibantu 30 anggota kini lebih stabil apabila didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sarang mahu tarik perhatian golongan muda untuk merasai ‘sense of belonging’ sambil menghayati karya seni.

“Saya rasakan ramai peminat seni yang mahu bekarya tetapi tiada tempat untuk melakukannya,” katanya.

Katanya, beliau turut menjemput kenalan untuk menjadi tenaga pengajar dalam bengkel yang diadakan pada setiap hujung minggu.

“Manusia tidak dapat lari daripada cintakan seni dan bangsa yang berbudaya perlu ada seni.

“Sudah tentu seni itu mustahak. Bayangkan apabila bangun pagi tiada lagu, tiada gambar dan tidak bercakap dengan kawan.

“Malah, seni berlandaskan agama juga penting seperti mana pembukaan Sarang juga disertai pelajar Tahfiz ke sini agar usaha yang dilakukan diberkati,” katanya yang kini dalam proses pascaproduksi filem terbaru, Rock Bro.

Katanya, pelbagai aktiviti diatur di Sarang antaranya bengkel penulisan skrip dan muzik.

“Menariknya, mereka bukan saja belajar cara bermain untuk busking tetapi bagaimana mereka boleh buat duit selain bengkel fotografi dan sinematografi oleh kenalan yang juga ahli Sarang,” katanya.

Memberi tarikan, satu acara membabitkan 100 pemuzik diketuai Rosli Mohalim akan diadakan pada 21 November ini jam 5 petang manakala Apresiasi Muzik dijalankan Fakulti Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada sebelah pagi.

Sementara itu, aktiviti qiamullai juga dirancang pada 25 Disember depan.

image

image

image

image

image

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *