Disney Suka Bola Kampung

Seringkali apabila Malaysia menyertai acara kandungan kreatif di peringkat antarabangsa, produk animasi menjadi taruhan untuk tarik perhatian produser luar membeli dan menjalinkan kerjasama.

Ketua Pegawai Eksekutif, Funcel Sdn Bhd, Azrul Hassani Baharom mengakui kewujudan banyak syarikat animasi tempatan menunjukkan petanda positif dalam melangkah lebih jauh ke pasaran global.

“Kita tidak hanya membekalkan produk kita di dalam negara, bayangkan lebih banyak syarikat kita membekalkan animasi kepada pihak luar.

“Jika keadaan ini berterusan secara tidak langsung pihak luar akan menambah keyakinan kepada syarikat animasi di negara ini dan ini memberi peluang yang baik untuk semua pihak, sebab itu saya gunakan perkataan saling membantu buat syarikat animasi kita,” katanya.

Bagi Pengarah Eksekutif, Animasia, Raye Lee, Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi lokasi utama pembikinan produk animasi di seluruh Asia.

“Saya mula berada di Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) sejak 13 tahun lalu, di waktu itu saya hanya berurusan untuk membeli produk luar untuk tontonan masyarakat kita.

“Bagaimanapun selepas beberapa tahun saya mahu mencuba menjual pula produk kita di peringkat antarabangsa.

“Kami mulakan dengan menjual drama dan filem aksi buatan tempatan, jujur saya katakan memang tidak ada pihak yang berminat ketika itu malah negara jiran kita sendiri seperti Indonesia juga tidak menunjukkan minat untuk membeli.

“Jadi, kami memilih untuk menjual produk animasi, dan kini selepas 10 tahun sudah ramai pihak yang mempercayai kepakaran yang dimiliki Animasia Studio,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Tambahnya, apa yang lebih membanggakan adalah produksi terkenal Disney juga sudah menggunakan khidmat yang ditawarkan syarikat animasi itu.

“Antara produk kami yang mendapat sambutan yang baik di saluran Disney adalah Bola Kampung dan Supa Strikas.

“Memang ikutkan ada juga pihak terkejut dengan kemampuan kami, namun apa yang boleh saya katakan, industri animasi kita kini sudah setaraf dengan negara luar,” katanya.

– Kafebuzz.my
(Foto: thewaltdisneycompany)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*