Transformasi Fazura Dalam ‘Langit Cinta’

Filem adaptasi novel ‘Langit Cinta’ yang akan ditayangkan di pawagam awal Januari depan, buat julung kalinya menampilkan sisi lakonan berbeza pelakon terkenal tanah air, Nur Fazura Sharifuddin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Fazura berkata jika sebelum ini kesemua filem lakonannya tertumpu kepada karakter gadis ‘gedik’ bersifat materialistik dan mengenakan solekan yang tebal, wataknya di dalam filem itu adalah sebaliknya.

“Dalam filem ini, pengarah Osman Ali benar-benar telah ‘mentransformasikan’ saya dengan membuang jauh karakter wanita bercita rasa tinggi kepada wanita kampung bernama Khadijah yang memakai baju kurung dan berkain batik.

“Selain itu, bukan sahaja watak mengandung dan melahirkan anak, saya juga perlu memainkan watak dipukul dan hampir diperkosa yang sememangnya mencabar kemahiran lakonan saya,” katanya.

Beliau berkata watak Khadijah menggambarkan seorang wanita yang bersemangat tinggi dan tidak sesekali mengalah.

Langit Cinta karya asal Osman Ali ini berkisar kisah percintaan dua darjat antara Khadijah dan seorang hartawan, Alif Zulkarnain lakonan Keith Foo yang penuh liku.

Filem itu turut dibintangi Farid Kamil, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Dian P. Ramlee.

Mengenai perkembangan terbarunya, Fazura juga bakal tampil dalam rancangan realiti, ‘Facing Up To Fazura’ musim kedua di saluran E! yang memaparkan lebih banyak konflik mengenai perjalanan kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan usahawan dalam satu masa.

“Ianya bukanlah satu perkara mudah apabila setiap gerak-geri saya dirakam setiap masa untuk dipaparkan pada orang ramai lebih-lebih lagi ditayangkan di seluruh Asia tetapi kali ini saya lebih tenang dan bersifat terbuka untuk berkongsi banyak perkara kepada umum,” katanya.

Beliau berkata selepas kejayaan rancangan itu pada musim pertama tahun lepas, para peminatnya terus memberi sokongan penuh kepadanya.

Satu-satunya rancangan realiti mengisahkan kehidupan seorang artis di Malaysia terbitan NBCUniversal International Networks itu bakal ditayangkan secara rasmi pada 1 Nov ini di Astro, saluran 712 pada 10 malam.

LangitCinta1 LangitCinta2

– Bernama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*