Amir Ukays Tertekan

Bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, 46, hari ini mengaku berasa sugul dan tertekan dengan pandangan orang ramai ke atas dirinya.

Katanya, walaupun sudah terbukti dia tidak melakukan kesalahan, namun masih ada pihak yang cuba memutarbelitkan kisah penahanannya tempoh hari.

Tidak cukup dengan itu, kata Amir, ada juga yang cuba mengaitkan rekod kesalahan lampaunya dengan kes penahanannya ini.

“Melihat apa yang viral di laman sosial, memang saya akui sedikit terkilan memandangkan apa yang dikongsikan itu tidak benar.

“Malah, ada yang mula mengaitkan kisah lampau saya sehinggakan menjatuhkan air muka.

“Sebenarnya, apa yang berlaku adalah proses biasa, saya dibawa pihak berkuasa ke balai dan apabila semuanya sudah jelas, mereka bebaskan saya.

“Sebagai orang awam saya hormat tanggungjawab yang digalas pihak berkuasa dan saya tidak salahkan mereka,” katanya.

Mengakui tidak mengetahui adalah satu kesalahan untuk memiliki pistol tiruan, kata Amir, dia bagaimana­pun lega apabila semuanya kini ter­bukti dia bukan penjenayah dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Saya pegang pada pendirian, kalau tidak salah buat apa mahu takut. Secara jujur, saya juga tidak menyangka perkara ini akan terjadi.

“Sewaktu ditahan, memang saya akui pistol tiruan tersebut bersama saya, bagaimanapun waktu itu saya baru balik daripada melakukan latihan nyanyian di studio, kalau ikutkan saya hanya berada di balai polis kurang 24 jam dan kira-kira pukul 5 petang semalam, saya dibenarkan keluar,” katanya.

Tidak menolak pada mulanya, keluarganya juga sedikit gempar dengan berita penahanan tersebut, kata Amir, selepas ini fokus utama adalah untuk memberikan persembahan terbaik di pentas Gegar Vaganza 2 Ahad ini.

“Memang keluarga agak terkejut pada mulanya, tetapi selepas dijelaskan, baru mereka faham.

“Memandangkan semua ini sudah selesai, selepas ini saya mahu menumpukan kepada penyertaan saya dalam program Gegar Vaganza 2 sahaja.

“Walaupun saya akui latihan untuk program itu agak terganggu kerana kejadian ini, namun saya yakin untuk memberi persembahan terbaik,” katanya.

– Utusan Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*