Kasut Nike MAG Marty McFly Jadi Realiti

Sejak semalam, media sosial dihujani pelbagai berita dan ucapan peminat terhadap ulang tahun filem sains fiksyen popular zaman 1980-an, Back To The Future (BTTF).

Selain berita keterujaan pelakon Christopher Lloyd yang mahu kembali melakonkan watak Doc Emmette Brown dan kereta hebat Delorean dalam filem berkenaan yang dikesan menggunakan plat Negeri Sembilan, satu lagi berita gembira dikongsi hero filem itu, Michael J Fox.

Menerusi statusnya di Twitter, dia menerima hadiah istimewa daripada pembuat kasut sukan terkenal, Nike, yang mencipta kasut istimewa yang pernah diilhamkan dalam sekuel filem itu.

Kasut berkenaan yang mempunyai gabungan warna perak dan putih itu mempunyai teknologi seperti dipaparkan dalam filem BTTF iaitu talinya mampu diikat secara automatik!

“Meskipun projek ini bermula sebagai sains fiksyen, kami kini berbangga menjadikan fiksyen itu kepada realiti,” kata pereka Nike, Tinker Hatfield dalam suratnya kepada aktor itu.

Kegembiraan pelakon itu juga dikongsi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang mengucapkan ulang tahun filem itu.

Khabarnya, Nike akan menjual kasut jenis MAG edisi terhad itu kepada orang ramai menerusi acara lelongan amal di mana wang berkenaan disumbangkan kepada Yayasan Michael J Fox untuk penyelidikan penyakit parkinson.

Nampaknya papan luncur terbang dan kasut canggih Nike MAG benar-benar wujud cuma kita tunggu bila kereta Delorean pula boleh terbang!

image

image image image

– Kafebuzz.my

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*