Perjuangan Ahmad Idham Demi Anak Bangsa

Menimba pengalaman seni sebagai pelakon sebelum mencipta nama sebagai pengarah filem menjadikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai penggiat seni yang mempunyai wawasan jauh.

Malah, fokusnya tidak hanya berada di zon selesa ketika berkhidmat dengan produksi orang lain tetapi terus bersemangat mencari peluang baru untuk mempertingkat kemahiran diri sendiri.

Realitinya, Ahmad Idham kini selesa menguruskan akademi sendiri iaitu Akademi Filem Ahmad Idham (AiFA) yang beroperasi di Johor Bahru (JB) sejak dua tahun lalu.

Katanya, seramai 100 pelajar kini mengikuti pengajian di AiFA dari peringkat sijil sehingga Diploma Kemahiran Malaysia.

“Menariknya, ada dalam kalangan pelajar ini sudah di ‘booking’ orang industri untuk bekerja dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Kafebuzz, baru-baru ini.

Menurut pelakon popular drama bersiri, Cinta Antara Benua dan sitkom Spanar Jaya ini, pelajarnya mempunyai kelebihan kerana mereka juga menjalani latihan praktikal ketika belajar yang memudahkan pendedahan kepada industri perfileman sebenar.

Sebagai komitmen menjadi pendidik kepada anak bangsa dan generasi muda masa hadapan, Ahmad Idham menyatakan fasa kedua AiFA akan membuka cawangan baru di Kuala Lumpur pada awal tahun depan.

“Kewujudan kampus baru ini adalah atas permintaan ramai yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman bukan saja lakonan tetapi kerja belakang tabir seperti kamera, lampu, skrip dan pengarahan.

“Sebelum ini, ramai juga yang bertanya lebih baik satu kampus dibuka di Kuala Lumpur yang lebih strategik berbanding JB.

“Kewujudan akademi seperti AiFA penting dalam memperjuang industri perfileman tempatan apatah lagi kita tidak pernah ada akreditasi untuk masuk dalam bidang perfileman,” katanya yang akan kembali dengan filem terbaru arahannya berjudul Mat Moto di pawagam pada 24 Disember nanti.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*