Apa Dosa Produser Tempatan Dapat Skim Wajib Tayang?

Apakah penggiat filem tempatan selama ini menjadi manja akibat adanya bantuan skim wajib tayang?

Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, peribahasa hanya jauhari mengenal manikam lebih sesuai menjawab soalan itu.

“Hanya produser yang pernah menghasilkan filem saja tahu betapa besar nilai skim itu berbanding mereka yang tidak pernah keluar duit buat filem.

“Syarat Wajib Tayang sebenarnya melindungi filem Melayu daripada ditindas pihak pawagam.

“Selama ini, pertelingkahan produser dan pawagam masih belum selesai. Pawagam sebolehnya cuba menghapuskan skim ini, jadi apa lagi keistimewaan untuk penggiat seni kita dapat,” katanya ketika dihubungi Kafebuzz, hari ini.

Beliau mengulas lanjut kenyataan Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman yang mengakui syarat wajib tayang menjadikan penggiat filem manja dan sambil lewa dalam menghasilkan filem bermutu, seperti dilaporkan Berita Harian, semalam (15 Oktober).

image

Menurutnya, ‘budaya’ menyalahkan orang lain tidak sepatutnya berlaku pada agensi kerajaan seperti FINAS yang perlu fokus isu lebih besar membabitkan masalah produser filem tempatan yang sekian lama belum selesai.

“Hakikatnya, pawagam semakin menindas produser filem tempatan. Isu bayaran cetakan filem digital (VPF) apabila produser terpaksa membayar RM1,500 sehingga RM2,000 seolah kita menyewa pawagam untuk tayangan tetapi tiada hak tentukan masa dan jumlah tayangan.

“Saya pernah menjadi mangsa apabila Skim Wajib Tayang mengatakan 4 slot tayangan tetapi hanya 3 slot pada waktu penonton tidak pergi tengok.

“Skim wajib tayang hanyalah isu kecil. Apa salahnya jika FINAS memikirkan ia adalah sumbangan untuk memberi impak pada kemajuan industri filem tempatan,” katanya.

Akuinya, kreativiti penggiat filem tanah air kini semakin terhad menerusi peraturan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) dan risiko yang dihadapi kian bertambah.

“Kita tunggu di mana FINAS untuk bawa filem kita ke pasaran antarabangsa.

“Isu cetak rompak dan muat turun bahan kandungan kreatif di Internet masih belum selesai.

“Apa dosanya jika produser filem tempatan dapat skim wajib tayang sebagai insentif untuk menghasilkan filem dan sudah tentu, itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk membantu.

“Industri filem seperti Korea lagi teruk apabila filem asing tidak boleh masuk tetapi kerajaan di Korea, Jepun dan Thailand banyak membantu penggiat filem mereka sendiri,” katanya.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*