Ekosistem Industri Hiburan Sangat Tidak Sihat

Isu gaji pekerja industri hiburan tidak naik sejak 20 tahun lalu dan bayaran stesen TV kepada produser di takuk lama menjadi masalah yang masih belum menemui jalan penyelesaian.

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Jurey Latiff Rosli berkata, dalam keadaan ekonomi yang semakin meruncing ditambah kos hidup meningkat, ia menuntut isu kadar bayaran sewajarnya dilakukan segera.

“Jika kita bercakap isu satu kelompok saja, ia tidak dapat menyelesaikan masalah industri.

“Persoalannya, jika kita mahu melihat semua orang terbela, maka penyelesaiannya adalah secara menyeluruh,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Switchoff Channel, Facebook, semalam.

Menurutnya, maksud penyelesaian menyeluruh adalah menyelesaikan ekosistem industri bukan hanya terhad pada pelakon, pengarah, pekerja dan penulis skrip tetapi keseluruhannya dari aspek dasar, peraturan, penguatkuasaan, lesen serta penerbitan program TV atau filem secara umumnya.

“Saya nampak ekosistem itu sangat tidak sihat dan jika kita mahu menyelesaikannya, kita perlu selesaikan untuk semua pihak dan memberi kepuasan pada semua yang berada dalam industri,” katanya.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*