Kehebatan Ho Yuhang Di New York

“Kenapa tak percaya ke?,” dialog popular yang mengingatkan penonton terhadap pelakon dan pengarah filem bebas, Ho Yuhang.

Di sebalik dialog jenaka itu, dalam diam dia mencipta satu lagi kejayaan apabila merangkul anugerah utama pada acara Inaugural FT/OppenheimerFunds Emerging Voices Awards di New York, baru-baru ini.

Menggunakan konsep noir klasik, hitam dan putih, filem arahannya ‘Trespassed’ mengisahkan seorang gadis dirasuk makhluk halus selepas kehilangan bapanya berjaya menarik perhatian juri.

Yuhang dalam temubual bersama Financial Times, kelmarin menyatakan menerusi filem pendek, dia berpeluang mencuba sesuatu yang lebih mencabar dibandingkan filem cereka.

“Saya suka kerja menggunakan hitam dan putih tetapi sukar untuk mendapatkan pengedar yang boleh terima karya yang bukan warna,” katanya.

Menariknya, plot filem itu adalah juga inspirasi kisah peribadinya.

Katanya, dia mempunyai adik perempuan yang jatuh sakit dan dijaga ibunya sehingga meninggal dunia.

“Doktor tidak tahu apa puncanya. Dia dilahirkan sebegitu dan dianggap berkaitan mental pada mulanya sebelum memberi kesan pada keupayaan fizikal,” katanya.

Sebagai antara pengarah filem terkenal dalam industri perfileman tanah air, Yuhang dikenali menerusi Rain Dogs (2006) dan At The End of Daybreak (2009) termasuk membintangi Bunohan arahan Dain Said dan Nasi Lemak 2.0.

Acara itu yang disertai 100 penyertaan di seluruh dunia menyaksikan Yuhang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$40,000.

Ikuti temubual Yuhang bersama Financial Times:

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*