Siti Nurhaliza, Hetty Koes Endang, Ramli Sarip Berkongsi Pentas

Buat julung kalinya, Datuk Siti Nurhaliza bakal bergabung dengan dua penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip dari Singapura dalam konsert Satu Suara Vol 2 di Panggung Sari, Istana Budaya pada 7 dan 8 November depan.

Konsert berkenaan menjadi kesinambungan kepada Konsert Satu Suara yang pernah diadakan di lokasi yang sama pada tahun 2010 menampilkan Datuk Siti Nurhaliza selain teraju utama Aizat Amdan dan Faizal Tahir.

Konsert ini juga mengisi perancangan asal konsert muzikal Siti Nurhaliza yang dirancang pada bulan yang sama sebelum ini.

Konsert muzikal berkenaan bagaimanapun tidak dibatalkan sebaliknya ditunda pada tahun lain.

“Oleh kerana kekangan beberapa perkara seperti kewangan dan penaja, saya fikir tak salah ia ditunda dan dipentaskan apabila betul bersedia.

“Ada hikmah juga di sebalik semua itu dan terbit pula idea menggantikannya dengan konsert Satu Suara Volum 2.

“Lebih istimewa konsert ini menggabungkan dua legenda besar, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip. Siti sendiri meminati mereka secara peribadi dan ia pastinya akan menjadi momen terindah buat diri ini,” kata Siti Nurhaliza penuh semangat.

Tiket menonton persembahan konsert selama dua jam ini akan mula dijual pada 9 Oktober dan boleh didapati menerusi laman sesawang, www.AirAsiaRedTix.com.

Harga tiket dijual pada harga RM78, RM108,RM 218,RM238, RM278, RM338 dan RM518.

Tiket turut dijual di premis seperti di The Rock Corner The Gardens, Bangsar Village, Subang Parade, The Curve, Amcorp Mall, Tropicana Mall dan Istana Budaya.

– BH Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*