Lega Bukan Hidap Kanser

Penyanyi yang popular dengan lagu Sonata Musim Salju dan Mungkir Bahagia, Hazami, 40, kini semakin sihat selepas disahkan menghidap diverticulum atau kantung darah pecah sehingga menyebabkan pendarahan yang banyak pada Ogos lalu.

Hazami lega kerana ia bukanlah kanser walaupun pada awalnya doktor yang merawatnya menemui dua titik yang disangka penyakit berbahaya itu.

Bagaimanapun, hasil ujian biopsi menunjukkan dia bebas daripada kanser. Dia yang tidak pernah jatuh sakit tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaannya ketika itu.

“Selepas keluar hospital, doktor tidak membekalkan saya ubat, tetapi saya diminta mengamalkan pemakanan seimbang dan banyak makan buah-buahan.

“Sebelum jatuh sakit berat badan saya 50 kilogram, kini sudah bertambah enam kilogram dan saya perlu naikkan lagi sebanyak empat kilogram untuk menjadikannya 60 kilogram. Saya juga akan bersenam di gimnasium,” katanya.

Akui Hazami atau nama sebenarnya, Norkamal Hazami Ahmad walaupun semakin sihat, tubuhnya masih berasa lemah dan perlu berehat.

Menurut Hazami, 90 peratus daripada penduduk dunia menghidap penyakit itu apabila 10 peratus adalah serius dan dia seorang daripadanya.

“Ketika masuk industri, berat badan saya 70 kilogram dan bermula 2002 saya mula makan ala kadar untuk mengalas perut.

“Inilah risiko yang saya perlu tanggung apabila mengamalkan diet secara tidak sihat. Penyakit itu menyerang secara senyap apabila suatu hari saya buang air besar bercampur darah yang keluar tanpa henti menyebabkan saya terus tidak sedarkan diri.

“Kehilangan banyak darah turut mengurang–kan oksigen dalam tubuh dan membahayakan nyawa. Dua hari saya tidak sedar diri dan doktor masukkan enam pain darah.

“Sekarang kalau berada di rumah, saya akan makan buah-buahan 10 minit sekali dan ia adalah penawar mujarab untuk menambah vitamin dalam tubuh. Buah kegemaran saya adalah strawberi,” katanya yang tidak dibenarkan mengambil sebarang makanan tambahan seperti vitamin.

Ketika terlantar di hospital, timbul khabar angin dia sudah meninggal dunia. Meskipun perkhabaran itu tidak menggusarkan perasaannya, dia terpaksa beri penjelasan kepada doktor yang merawatnya, keluarga dan kawan-kawan.

“Saya berdebar tak tahu macam mana mahu jelaskan kepada mereka. Apabila berjumpa doktor dia kata, ‘oh, awak sudah mati’. Berita palsu seperti itu sudah semestinya tidak disenangi semua pihak kerana hidup dan mati bukan perkara main-main,” katanya.

Meskipun dinasihatkan banyak berehat, Hazami tetap rancak menyiapkan material untuk album kelapan selepas tiga tahun sepi tanpa sebarang buah tangan baru.

Dia yang ditemui pada pelancaran album dua artis baru, Azmarul Azuan dan Zaidi Anwari, kelmarin, berkata sepanjang menyepi dia mencari dirinya semula.

“Saya perlu melakukan pembaharuan dan tampil dengan sesuatu di luar kotak. Sebelum ini saya pernah hasilkan dua album yang memuatkan 18 lagu, tetapi apabila teman rapat kata karya itu macam sampah dan bukan Hazami, saya buang album itu.

“Saya tak rugi apa pun kerana lagu dan lirik hasil ciptaan sendiri. Dalam mencari pembaharuan, apa yang perlu ditekankan adalah lagu mestilah beridentitikan Hazami dan kembali kepada diri saya yang asal. Formula itulah yang susah nak dapat,” katanya.

Album terbaru Hazami berjudul I Luv U diserikan dengan lapan karya baru dan enam lagi campuran pelbagai lagu. Single pertama, Ke Hujung Nyawa akan diperdengarkan dalam waktu terdekat.

– Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*