Jwanita Jelmaan Dukun ‘Lulus’ Tayangan

Mencari filem tempatan genre seram kebelakangan ini yang boleh diangkat sebagai filem yang menghiburkan daripada pandangan mata penonton memang suatu yang sukar.

Ada ketika poster mahupun trailer filem itu nampak seram dan suspen tetapi apabila ditonton, subjek hantunya pula menjadi bahan jenaka ataupun plotnya yang membosankan.

Melihat faktor berkenaan sebagai cabaran, pengarah terkenal, Osman Ali tampil dengan buah tangan barunya berjudul Jwanita yang mengangkat pelakon berpengalaman yang sering menjadi taruhannya, Maya Karin sebagai teraju utama filem kali ini.

Sebagaimana jangkaan penonton yang mahukan kisah seram yang bukan stereotaip seperti hantu menggilai mahupun terbang di tepi cermin kereta atau melompat atas kereta, Jwanita menampilkan kelainan tersendiri menerusi kisah seorang gadis yang mengalami masalah mental yang serius.

Jwanita didera secara mental dan fizikal oleh ibu dan bapa angkatnya yang juga pengamal ilmu hitam. Dia yang kemudian menerima rawatan daripada Doktor Farhan kemudian dipertemukan kembali dengan adiknya yang terpisah, Julaika yang mempunyai hubungan dengan doktor itu.

Bagi peminat filem arahan Osman, pastinya tahu pengarah ini cukup teliti dari aspek sinematografi dan setiap syot yang dirakam.

Begitu juga, Maya yang selama ini diterjemah dengan karakter wanita romantik tampil berbeza menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan terhadap orang lain dalam filem ini.

Lebih menarik, filem ini turut dibintangi Datin Seri Ummie Aida yang melakonkan watak Kartini, ibu angkat yang menculik Jwanita.

Lakonan Ummi sebagai pengamal ilmu hitam dalam filem ini sebenarnya mengingatkan penonton terhadap karakter yang sama menerusi filem Dukun arahan Dain Said yang disiapkan beberapa tahun lalu tetapi tidak dapat ditayangkan.

Meskipun Dukun ‘sangkut’ untuk tayangan, lakonan Ummi kali ini cukup mengerunkan penonton termasuk Jwanita sendiri yang mengikut jejak ibu angkatnya itu.

Filem terbitan Nuansa Sdn Bhd bersama Ehsan Production ini juga dibintangi Cristina Suzanne sebagai Julaika, Bront Palarae (Dr Farhan), Marsha Milan Londoh (Nona) termasuk pelakon cilik, Putri Syasya Masyithah dan Mohd Izuan Fikri Zolkefli.

Filem ini yang diketegori untuk tontonan 18 tahun ke atas membawa tagline ‘Ada Setan Di Kepalanya’ akan menemui penonton di pawagam pada 24 September ini.

Jwanita 1 Jwanita 4 Jwanita 7 Jwanita 8 Jwanita 12

– Kafebuzz.my

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*