SENIMAN Bidas KARYAWAN

Syarat Padu Citra yang dikuatkuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 1 April 1997 perlu dipatuhi agar mana-mana artis dan kru penggambaran menyertai persatuan termasuk sebagai syarat menjadi calon Festival Filem Malaysia (FFM).

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berkata, Padu Citra mensyaratkan mana-mana pihak yang ingin mengambil permit Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) mesti menjadi ahli kepada tiga persatuan yang diiktiraf FINAS iaitu SENIMAN untuk artis, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mewakili pengarah dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).

Selepas FDAM membangkitkan isu wujud calon Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) yang tidak menjadi ahli persatuan, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) semalam tampil menasihatkan persatuan lain berusaha lebih gigih menyakinkan penggiat seni untuk sertai mereka.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, persatuan tidak harus memaksa mana-mana pihak menjadi ahli persatuan apatah lagi ramai ahli yang kecewa dengan ketidakcekapan pengurusan persatuan itu sendiri.

Nyata, kenyataan Freddie itu dibidas SENIMAN yang menyifatkan ia tidak benar yang mengelirukan penggiat seni apabila ia bukan mengenai perjuangan industri tetapi lebih kepada perjuangan peribadi.

“Sebagaimana yg kita ketahui SENIMAN ditubuhkan pada tahun 1974, FDAM pada 1980-an termasuk PROFIMA manakala KARYAWAN ditubuhkan pada 2000.

“KARYAWAN adalah satu-satunya persatuan yang suka menanguk di air keruh yang tidak memahami masalah yang ditimbulkan oleh FDAM, SENIMAN dan PROFIMA.

“Persatuan tidak boleh dilihat melalui aktivitinya sahaja. Malah, perjuangan yang jelas persatuan perlu ditonjolkan supaya ia lebih fokus dalam membela ahli-ahli,” ujar Zed kepada Kafebuzz.

Zed berkata, KARYAWAN boleh dianggap sebagai persatuan rojak berbanding GAFIM yang mempunyai 11 persatuan seni bergabung bersama untuk penyatuan berbanding KARYAWAN hanya bergerak sendiri sebagai satu persatuan sahaja.

“Berbalik kepada kenyataan Freddie, saya tidak bersetuju dengan kenyataannya kerana di dalam pengambilan permit untuk satu-satu pengambaran filem drama, iklan, dokumentari drama dan sebagainya perlu melalui proses mengisi borang SPP dan di situ juga jelas FINAS meletakan syarat Padu Citra.

“Di mana tiga nama persatuan iaitu SENIMAN, FDAM dan PROFIMA diletakkan dalam syarat Padu Citra dan di dalam syarat itu tidak wujud nama persatuan KARYAWAN.

“Atas sebab itu, kenyatan Freddie itu seperti sorang yg dangkal dalam undang-undang syarat garis paduan yang telah diletakkan oleh kerajaan untuk membela anak seni,” katanya.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*