Pengiktirafan Othman Hafsham Tutup Isu FFM27?

Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) mengiktiraf sumbangan seni pengarah tersohor, Othman Hafsham menerusi anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

Beliau yang cukup popular dengan karya seperti filem Adik Manja, Mekanik termasuk sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1, mengakui impiannya menjadi pengarah bermula sejak menonton wayang 60 tahun lalu.

“Setiap minggu ayah bawa saya tengok wayang sampai saya jatuh hati dengan filem dan mahu menjadi pengarah filem,” katanya sambil merayu pengarah menjadi ahli Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

Othman juga menyeru orang ramai ke pawagam membantu industri perfileman tempatan.

Di sebalik pengiktirafan itu, ia seolah penyelesaian pada isu yang dibangkitkan FDAM berhubung wujud calon FFM27 yang tidak menjadi ahli persatuan.

Sementara itu, pengarah terkenal, Mamat Khalid menang anugerah Lakon Layar Terbaik menerusi filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

Pelakon jelita, Nur Fazura pula menitiskan air mata apabila lakonannya menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik.

Kategori Pelakon Lelaki Terbaik mencipta kejutan apabila dimenangi Lee Sai Peng membintangi The Journey. Kejayaan itu menewaskan pelakon popular yang menjadi calon seperti Wan Hanafi Su, Bront Palarae dan Que Haidar.

Bagi Anugerah Khas Juri diberikan kepada filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut dan Terbaik Dari Langit.

Eirma Fatima yang menyampaikan anugerah Filem Bukan Bahasa Melayu Terbaik yang dimenangi The Journey secara sinis menyatakan filem terbaik tidak seharusnya dinilai daripada aspek bahasa tetapi karya seni itu sendiri.

Pengarah Terbaik dianugerahkan kepada Liew Seng Tat menerusi Lelaki Harapan Dunia manakala filem itu juga membawa kejutan apabila diumumkan sebagai Filem Terbaik.

image

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*