20/01/2021

Kemuncak Zapin Mania

2 min read

Program Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin 2015 musim ketiga anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia, Persatuan Belia Kota Gagasan dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd sampai kemuncak apabila peringkat akhir akan diadakan di AEON Mall AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini jam 2.30 sehingga 6 petang.

Pada minggu lalu, bermula 14 sehingga 16 Ogos lalu menyaksikan pertandingan permainan tingkah zapin diadakan di AEON Mall Cheras Selatan menjadi perkampungan budaya menghimpunkan 11 kumpulan pemain Zapin terbaik dari seluruh negara merebut peluang mewakili Malaysia dalam permainan tingkah Zapin berkumpulan secara spontan untuk pemilihan ke peringkat Nusantara.

Empat kumpulan terbaik yang berjaya membawa pulang trofi dan hadiah kemenangan adalah Sanggar Budaya Sri Pengkalan, Segamat Johor (Juara bertahan 3 tahun berturut-turut) bergelar juara (pemenang Platinum), Badan Budaya Perbadanan Labuan (Naib Juara – Pemenang Emas), Sri Sukma Tari, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra Segamat Johor (Ketiga – pemenang Perak) dan Seri Melati, Sekolah Kebangsaan Taman Seri Melati Johor Bahru Johor (Keempat – pemenang Gangsa).

Pemenang trofi Noraniza Idris atas pemilihan berdasarkan komitmen yang tinggi dalam memberi kerjasama dalam aktiviti yang telah diatur adalah Adikarma dari Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Majlis Kebudayaan Daerah Kluang Johor, Budak Zapin Junior Kuala Lumpur dan Pawana d’Tari Kuala Lumpur.

Pengerusi Merangkap Pengarah Projek, Nor Aniza Idris berkata, acara kemuncak pertandingan permainan secara spontan ini adalah sebuah program bimbingan rohani dan jasmani yang diwujudkan menerusi kerjasama beberapa motivator dan fasilitator tetap sebagai suntikan dalam mengimbangi akhlak dan budaya anak-anak masa kini dalam satu masa yang sama.

“Orang ramai juga turut dipelawa mengambil bahagian dalam acara-acara seperti Bengkel Kesenian Asas Zapin bersama Pengasas, Bengkel Zapin Anak Merdeka (Training of trainers) bersama Pengasas atau penerus Zapin yang didatangkan khas untuk berkongsi pengalaman dan teknik, Bengkel Muzik Tradisional dan Ciptaan lagu Zapin Fusion bersama fasilitator dan penyanyi lagu-lagu puisi, Siso koprasata,” katanya.

AEON

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *