Calon FFM27 Bukan Ahli FDAM?

Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) meluahkan pandangan terhadap penganjuran Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) apabila beberapa filem dan pengarah yang dicalonkan bukan ahli persatuan itu.

Presidennya, Othman Hafsham berkata, perkara itu bertentangan dengan peraturan yang menjadi amalan FFM sejak kali pertama dianjurkan 26 tahun lalu.

“Adakah peraturan ini telah diubah? Sekiranya diubah, apakah rasional terhadap
perubahan yang dilakukan?,” katanya.

Othman juga merujuk dua syarat Padu Citra sebelum ini iaitu Perenggan 3 Padu Citra menyebut syarat tambahan pada lesen pengeluaran filem menghendaki mana-mana orang yang terlibat di dalam pengambaran terdiri daripada mereka yang sah berdaftar dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) atau FDAM atau Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (kini dikenali Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia – PROFIMA).

Begitu juga, perenggan 7 (1) Padu Citra menyatakan produser yang ingin membuat pengambaran dikehendaki memastikan setiap individu yang terlibat dalam pengambaran telah menjadi ahli atau berdaftar dengan persatuan.

Misalnya, seorang pelakon hendaklah menjadi ahli SENIMAN, seorang Pengarah telah menjadi ahli FDAM dan seorang pekerja menjadi ahli PPFM (PROFIMA).

Katanya, menjadi amalan sehingga ke hari ini, penerbit yang memohon Sijil Perakuan Pengembaraan (SPP) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu mematuhi syarat yang tercatat dalam perenggan 7 (1) Padu Citra.

“Namun, timbul persoalan adakah filem-filem yang dicalonkan mempunyai SPP? Kalau ada, bagaimana dan mengapa SPP diluluskan sedangkan penqarahnya bukan ahli FDAM?

“Kalau tiada pula, layakkah filem tanpa SPP diterima untuk bertanding dalam FFM27?,” katanya.

Difahamkan, perkara sama sudah dibangkitkan dalam pertemuan antara mantan Ketua Pengarah (KP) FINAS dengan FDAM, PROFIMA dan SENIMAN selepas FFM26 lalu.

Namun, mantan KP Finas ketika itu mengaku terlepas pandang dan akan memastikan ia tidak berulang.

Isu berhubung FFM27 itu dihantar FDAM menerusi surat kepada Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman baru-baru ini.

Mengenai FFM27 juga, pelakon Que Haidar juga sebelum ini mempersoal FFM27 apabila filem lakonannya, Ophilia tidak tercalon dalam kategori cerita asal dan kostum terbaik.

Lebih menarik, Que seolah menyamakan FFM27 seperti anugerah kanak-kanak antarabangsa popular, Kids Choice Award.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*