Bukit Kepong Digital Meriahkan Sambutan Kemerdekaan Ke-58

Tinggal 11 hari lagi, kita akan menyambut hari Kemerdekaan ke-58.

Mungkin ramai daripada rakyat negara ini tidak tahu tema merdeka kali ini tetapi apa yang pasti, ramai penonton yang masih ingat filem sejarah Bukit Kepong yang mengangkat perjuangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sempena merdeka kali ini, penonton sekali lagi berpeluang menonton filem Bukit Kepong tetapi dalam paparan visual dan audio yang lebih baik.

Menerusi kerjasama Kumpulan Syarikat KRU menerusi United Studios Sdn Bhd dengan Prodigital Lab Sdn Bhd, inisiatif ini diambil dengan membuat pelaburan dari segi pemasaran dan menjalankan kerja-kerja restorasi digital untuk kerja visual dan audio filem Bukit Kepong.

Menariknya, kerja-kerja rumit ini dihasilkan dengan penuh teliti dan filem ini akan ditayangkan semula di pawagam tertentu menjelang 31 Ogos ini.

Filem ini bukan saja dinaik taraf dalam kandungan definisi tinggi (HD), Prodigital Lab turut meningkatkan kualiti warna untuk menggambarkan filem ini seolah baru selesai menjalani penggambaran.

Memberi tarikan, mutu audio dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan menyelaraskan ‘lipsync’ audio asal dengan visual, ‘noise reduction’ dan penambahan kesan khas bunyi.

Dalam satu kenyataan, pihak Kumpulan Syarikat KRU menyatakan pendigitalan kandungan kreatif seperti Bukit Kepong ini bukan saja meningkatkan kualiti untuk tujuan pengkomersilan dan pengedaran semula tetapi menjimatkan kos arkib dan lebih penting memelihara khazanah seni tempatan untuk tontonan dan rujukan pada masa akan datang.

Pada 23 Jun lalu, Kumpulan Syarikat KRU dan PDRM mengumumkan kerjasama strategik sempena tayangan Bukit Kepong versi digital definisi tinggi pada bulan kemerdekaan ke-58.

Memorandum persefahaman yang dimeterai di Bukit Aman, Kuala Lumpur bertujuan untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan tayangan amal, tayangan perdana dan tayangan awam Bukit Kepong untuk mengisi Tabung Kebajikan PDRM.

Bahtera Merdeka juga dijadikan lagu tema filem ini dihasilkan Edry Abdul Halim dan dinyanyikan semula oleh One Forteen dan Balqies.

image image


– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*