Siti Nurhaliza Harap Rakam Lebih Banyak Lagu Ciptaan Ar Rahman

Penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berkata beliau berharap untuk merakamkan lebih banyak lagu ciptaan komposer terkemuka India, A. R. Rahman.

Siti berkata beliau sedia menyahut cabaran itu kerana peminatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan mengharapkannya untuk mengambil cabaran baharu.

“Saya mengagumi bakat A.R. Rahman sebagai penyanyi dan komposer terkenal dunia dan mahu bekerjasama dengannya dalam lagu,” katanya dalam sidang akhbar pada acara kemuncak program Astro, International Super Star di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini Sabtu malam.

Diva berusia 36 tahun itu turut menceritakan pengalamannya menyanyikan sebuah lagu Tamil ciptaan A.R.Rahman bertajuk ‘Nenje Ezhu’ (Bangkitkan Semangat) yang merupakan lagu promosi program International Super Star 2015.

Penyanyi itu berkata merakamkan lagu selama 20 minit itu merupakan pengalaman baharu bagi dirinya kerana beliau perlu mendengar dengan teliti intonasi, sebutan dan lirik lagu itu.

Namun, menurutnya, sebagai seorang artis yang faham tentang melodi, banyak membantunya dalam menyanyikan lagu itu.

Pada pertandingan akhir itu, Siti bersama-sama beberapa artis terkenal menyanyikan lagu ‘Nenje Ezhu’ pada persembahan pembukaan.

Program International Super Star 2015 berobjektif melahirkan bakat terbaik dalam nyanyian di negara ini membabitkan tiga kumpulan dengan peserta daripada setiap kumpulan perlu bersaing untuk menjulang gelaran super star dengan bantuan mentor masing-masing.

Pertandingan tahunan kali-15 itu, buat julung kalinya dianjurkan pada peringkat global dengan penyertaan daripada lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Mauritius, Kanada dan India.

Pasukan “Vellithirai” muncul juara dan membawa pulang USD100,000, manakala pasukan “Vinmeen” dan “Vaanavil” yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga menerima USD70,000 dan USD40,000.

-Bernama

(Foto: ctdk – Instagram)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*