Selawat, Qasidah Sempena Sambutan Kemerdekaan

Pengisian program sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara sepatutnya dirancang lebih awal dan paling penting membabitkan penyertaan orang ramai untuk turut serta.

Begitu juga, sambutan kemerdekaan Malaysia ke-58 kali ini dimeriahkan dengan program Doa Untuk Malaysia yang masuk penganjuran tahun kedua.

Difahamkan, program yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diterajui tokoh agama popular Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaff.

Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bermatlamat menunjukkan tanda syukur terhadap kemerdekaan yang dikecapi negara selama ini.

Malah, menerusi program ini mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara yang berdepan pelbagai ujian ketika ini.

Katanya kepada Sinar Harian, program berbentuk keagamaan dan kerohanian adalah salah satu daripada program utama yang dirancang sempena Hari Kemerdekaan ke-58 yang diselaraskan Sekretariat Merdeka.

Lebih menarik, program ini menjadi pendekatan dakwah untuk menarik golongan muda dekat dengan Islam dan menyatukan seluruh umat Islam.

Mengikut jadual, alunan selawat dan qasidah yang akan dipimpin Habib juga diiringi kumpulan nasyid tempatan seperti InTeam, Al-Mawlid dan Anak Warisan Kedah.

Program ini akan disiarkan secara langsung di TV AlHijrah dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada malam esok.

– Kafebuzz.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*