Mungkin berita ini mengejutkan, namun ini merupakan kali pertama dalam sejarah Forbes untuk menyenaraikan nama di luar dunia hiburan Hollywood bagi mengiktiraf ‘Aktor Bayaran Termahal Dunia’ yang mengemparkan banyak pihak.

Majalah Forbes telah menyenaraikan beberapa artis Bollywood seperti Amitabh Bachan, Salman Khan dan Akshay Kumar yang memiliki kekayaan luar biasa, selain menerima bayaran lebih banyak daripada pelakon terkenal Hollywood seperti Mark Wahlberg, Dwayne Johnson, Jonny Depp, Leonardo Dicaprio, Hugh Jackman dan Ben Affleck.

Amitabh diletakkan di tangga ketujuh dalam senarai Forbes, dengan pendapatan sebanyak AS$33.5 juta (RM130.8 juta) setahun diikuti Salman Khan yang turut menerima bayaran yang sama, manakala Akshay Kumar ditangga kelapan menerima sebanyak AS$32 juta (RM124 juta).

Senarai Forbes tahun ini turut berubah dengan tambahan beberapa artis Bollywood yang baru seperti Shah Rukh Khan yang memiliki pendapatan sama dengan Will Smith sebanyak AS$26 juta (RM100 juta) sekali gus meletakkan dirinya di tangga ke-18 artis terkaya di dunia.

Sementara pelakon baru yang sedang menempa nama melalui beberapa filem hit, Ranbir Kapoor berada di tempat ke-30 dengan jumlah pendapatan sebanyak AS$15 juta (RM58 juta), lebih tinggi daripada Chris Evans, Chris Pratt dan Andy Lau.

Mengikut senarai Forbes tahun ini, selepas pelakon-pelakon AS, kekayaan pelakon-pelakon India mengatasi selebriti dari negara lain dengan jumlah pendapatan gabungan sebanyak AS$140.5 juta (RM544.7 juta) setahun.