Karim Latiff Hidap Kanser Tahap Empat

Seniman veteran, Karim Latiff atau nama sebenar Abdul Karim Abdul Latiff, 78, disahkan menghidapi kanser tahap empat.

Menurut anak sulungnya, Izuddin Nizam, 43, doktor yang merawat bapanya bagaimanapun, tidak dapat memberi pengesahan kanser apa yang sedang dihidapi seniman itu.

Izuddin berkata, pada masa ini, doktor sedang melakukan ujian rapi ke atas bapanya selepas mengenalpasti ketumbuhan di beberapa bahagian badan pelakon veteran tersebut.

“Doktor memberitahu ayah saya menghidapi kanser tahap empat, bagaimanapun setakat ini masih belum dapat pastikan kanser apa memandangkan doktor masih menjalankan beberapa prosedur.

“Bagaimanapun, setakat ini kami diberitahu, ayah saya mempunyai ketumbuhan di hati, tulang belakang dan paru-paru,” katanya.

Terkenal melalui watak Safar melalui filem Ahmad Albab, Karim dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini sejak Sabtu lalu selepas mengadu sakit dada.

“Pada Sabtu lalu ayah mengadu sakit dada dan sukar bernafas, sampai di hospital doktor memberitahu terdapat banyak air dalam paru-parunya. Selepas menjalani proses buang air dari paru-paru, ayah nampak sedikit stabil tetapi masih lemah mungkin kesan ubat.

“Setakat ini tahap kesihatannya masih dipantau pihak hospital,” katanya.

Pelakon seangkatan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan berhijrah ke Studio Jalan Ampas, Singapura ketika berumur 18 tahun.

Selain mempunyai kebolehan menyanyi, Karim juga menyerlah melalui beberapa filem antaranya Sumpah Pontianak, Mahsuri, Anak Bapak, Masam-masam Manis, Keluarga 69 dan banyak lagi.

Karim mendirikan rumah tangga dengan Che Asma Hussain dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin selain Izuddin.

– UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*